
Khamis , 12/10/06 –Pada petang Selasa, seorang penduduk Palestin tercedera setelah sebuah jet pejuang rejim Zionis menembak sekurang-kurangnya satu misil ke arah sebuah kereta di kawasan Juhr Ed Deen, di kawasan tengah Semenanjung Gaza.
Satu sumber perubatan Palestin di Hospital Jihad Al Aqsa, bertempat di Dir Al Balah melaporkan bahawa penduduk yang tercedera itu mendapat luka yang agak serius. Dr. Moawiya Hassanen, ketua Unit Kecemasan di Kementerian Kesihatan Palestin melaporkan bahawa penduduk tersebut telah terkena cebisan-cebisan misil. Berikutan daripada tembakan itu, kereta tersebut rentung, dan menurut sumber tempatan, salah seorang daripada penumpangnya tercedera.
Saksi-saksi melaporkan bahawa penumpang yang berada di dalam kereta yang telah menjadi sasaran itu berjaya keluar sebelum misil tersebut mengenai kereta itu. Sementara itu, satu sumber tentera rejim Zionis mengesahkan serangan tersebut dan mendakwa kereta yang menjadi sasaran itu membawa pejuang-pejuang dari Briged Al Aqsa, sayap bersenjata pergerakan Hamas.
Juga pada Selasa petang, pejuang Palestin telah berbalas tembakan dengan askar-askar rejim Zionis yang berpusat di bahaian utara Semenanjung Gaza, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.