
Rabu, 22/11/06 –Isnin lalu, Dr. Ismail Redwan, jurucakap pergerakan Hamas menafikan laporan media yang menyebut mengenai kegagalan rundingan di antara Hamas dan Fatah berhubung usaha pembentukan kerajaan campuran. Penafian yang sama turut disebut oleh MP Dr. Mustafa Al-Barghouthi yang mengetuai rundingan di antara kedua-dua paksi tersebut.
Dalam sebuah kenyataan media, Redwan menyebut bahawa kesulitan sememangnya timbul tetapi tidak sampai ke suatu tahap di mana rundingan itu gagal sama sekali. “Perbincangan itu masih lagi terkawal dan kami telah membincangkan isu-isu utama.” beliau menjelaskan.
Kedua-dua parti telah memperoleh satu pencapaian yang besar, bersetuju bahawa program-program kerajaan adalah berdasarkan dokumen persetujuan kebangsaan dan mengikut jumlah kuota yang dimiliki oleh setiap paksi di dalam kerajaan baru itu nanti. Beliau turut menambah bahawa Hamas akan menamakan Perdana Menteri yang baru. Redwan bagaimanapun enggan mengulas bahawa keberangkatan presiden Mahmoud Abbas ke Jordan melalui Saudi Arabia adalah tanda kegagalan dialog itu sambil menambah bahawa itu adalah hak Presiden utnutk berjalan dan menziarahi mana-mana negara yang dikehendaki beliau.
Bagi pihak Barghouthi pula, beliau dengan jelas menafikan kegagalan rundingan itu. Beliau turut melahirkan rasa terkejut dan dukacita di atas penyebaran berita seperti itu sebelum ianya disahkan benar oleh pihak berkenaan. Beliau mengatakan bahawa tindakan menyiarkan berita palsu itu hanya akan menyusahkan rakyat Palestin dan menjejaskan kesatuan mereka sambil menjelaskan bahawa tindakan sedemikian adalah tidak boleh diterima sama sekali.
Barghouthi adalah ahli parlimen yang mengetuai partinya (Parti Bebas) di blok parlimen. Beliau mengatakan bahawa perkembangan telah dibuat untuk memastikan pengalihan kepungan tentera sebaik sahaja kerajaan baru dibentuk. Penekanan semangat positif dan optimistik akan terus menjadi isu utama dalam perbincangan yang diadakan secara berterusan dari masa ke masa.