Tahniah Pak Lah: Sempena kunjungan Meshal !

oleh : Maszlee Malik

Lewat pertempuran di antara kerajaan HAMAS dengan kumpulan pemberontak yang berselindung di sebalik nama Fatah, ramai pihak yang tampil untuk menyelesaikannya. Mesir telah berusaha, dan gagal. Syria telah berusaha, juga gagal. Qatar juga terpaksa menunjukkan komitmen mereka, malangnya, mereka menambahkan lagi bilangan percubaan-percubaan yang gagal. Akhirnya Arab Saudi tampil, dan berjaya menyatukan kedua-dua kumpulan HAMAS dan Fatah, sekaligus mengakhirkan episod peperangan saudara di bumi Palestin yang dijajah. Inisiatif Saudi itu telah membawa kepada deklarasi Mekah. Di antara keputusan besar dan utama yang dihasilkan lewat permufakatan Mekah itu adalah penubuhan “kerajaan campuran” Palestin. Abbas dan rakan-rakan Fatahnya tiba-tiba bersetuju walaupun dahulunya merekalah yang paling terkehadapan menolak ide seumpamanya lewat kemenangan HAMAS di dalam pilihanraya 2006 yang lalu.

Permuafakatan Mekah tersebut bagaikan hujan yang dinantikan di musim kemarau. Kumpulan pemberontak yang diketuai oleh Mohammad Dahlan kini terpaksa menyepi. Tidak pastilah, samada sepi mereka hanya seketika ataupun selama-lamanya. Seperkara yang pasti, Dahlan turut serta di dalam delegasi Fatah ke Mekah.

Malangnya, menurut laporan al-Markaz al-Filistini li al-I’laam, beliau tidak turut serta di dalam majlis menandatangani deklarasi Mekah. Ketiadaan beliau di dalam majlis berkenaan mengundang pelbagai analisis dari pengamat politik Timur Tengah. Apakah itu tanda protes, ataupun beliau sememangnya tidak mahu disertakan. Walau apapun yang telah berlaku, kini penduduk Palestin berdebar-debar menantikan tertegaknya kerajaan campuran Palestin dan juga lakaran masa depan Palestin dalam bentuk yang baru.

Kini, AS, Eropah dan Israel sudah tidak mempunyai pilihan lagi. Jika mereka benar-benara jujur di dalam usaha perdamaian di dalam isu berkenaan, mereka perlu membuktikannya. Seperti yang dijangka, Israel terus memulaukan kerajaan yang bakal dibentuk. Alasan utama mereka ialah penyertaan HAMAS yang enggan mengiktiraf Israel. AS juga mempunyai pendirian yang sama. Dunia bagaikan maklum dengan keputusan senada AS dan Israel. Eropah, melalui EU pula berbelah bagi.

EU menyuarakan bahawa syarat pengiktirafan dan pengakhiran sekatan ekonomi terhadap kerajaan Palestin adalah dengan kembalinya kerajaan Palestin ke meja rundingan damai. Mereka telah menetapkan inisiatif damai versi “Quartret” sebagai syaratnya. Rusia pula telah mengambil langkah berbeza dengan tampil menyeru dunia untuk mengakhirkan sekatan ekonomi ke atas kerajaan Palestin.

Suasana “feel good” ini telah diambil oleh ketua biro politik HAMAS di dalam buangan, Khaled Meshal untuk melancarkan kempen “mengakhirkan sekatan ekonomi”. Sejurus selesai permuafakatan Mekah, beliau terus memulakan siri lawatan ke negara-negara Arab, Islam dan juga bukan Islam. Objektif utama siri lawatan tersebut adalah untuk menyeru masyarakat dunia agar mengakhirkan sekatan politik, ekonomi dan juga diplomatik dengan kerajaan Palestin.


Walaupun OIC di bawah pimpinan Pak Lah tidak berjaya menyelesaikan isu perbalahan Fatah-HAMAS

yang lalu, namun sikap Pak Lah lewat lawatan Meshal ini patut dibanggakan.

Sekatan yang telah berlangsung lebih setahun itu telah meletakkan rakyat Palestin di dalam keadaan menderita dan tertekan. Kuala Lumpur merupakan destinasi kelima Meshal dan rombongannya selepas Syria, Mesir, Khartoum dan Moscow. Pertemuan di antara Meshal dengan Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Abdullah Badawi (Pak Lah) disifatkan oleh Meshal sebagai berjaya seperti yang telah dilaporkan oleh al-Markaz al-Filistini li al-I’laam.

Pak Lah sendiri di dalam laporan oleh badan-badan berita tempatan sebagai berpuas hati dengan kunjungan Meshal. Beliau telah mengambil peluang melalui pertemuan tersebut untuk mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai pemuafakatan Mekah. Di dalam kenyataannya kepada media, Pak Lah menyeru masyarakat dunia agar mengiktiraf pilihan rakyat Palestin melalui pilihanraya yang bersih dan demokratik lewat pilihanraya 2006 yang lalu. Pak Lah juga menyeru masyarakat dunia agar mengakhirkan sekatan ekonomi dan politik yang zalim ke atas rakyat Palestin.

Di samping menyokong penubuhan kerajaan campuran, Pak Lah juga telah berjanji kepada Meshal untuk terus menyokong perjuangan rakyat Palestin untuk mendapatkan hak mereka dan akan terus membantu mereka di masa hadapan. Perkara seumpama ini amat dialu-alukan dan patut diberikan pujian. Perlu diingat, Pak Lah bukan hanya sekadar sebagai perdana menteri Malaysia, beliau juga bertindak sebagai pengerusi OIC. Maka, kenyataan yang beliau buat sudah tentu akan mempunyai kesan terhadap pertubuhan tersebut.

Walaupun OIC di bawah pimpinan Pak Lah tidak berjaya menyelesaikan isu perbalahan Fatah-HAMAS yang lalu, namun sikap Pak Lah lewat lawatan Meshal ini patut dibanggakan. Walaupun Pak Lah juga tidak berjaya untuk menggesa semua negara-negara OIC untuk mengiktiraf kerajaan Palestin, namun diharapkan sikap positif Malaysia ini akan menjadi pembuka mata kepada negara-negara Arab dan Islam yang lain. Walaupun Malaysia agak terlambat di dalam menghulurkan bantuan kepada rakyat Palestin dan jumlahnya adalah kecil (16 juta AS) berbanding negara-negara Islam yang lain, namun keputusan positif Malaysia lewat lawatan Meshal ini diharapkan dapat memberikan semangat baru kepada kerajaan untuk menggandakan usaha bantuan mereka.

Walau bagaimanapun, satu lagi perkara yang nampaknya masih belum diberikan tumpuan oleh kerajaan dan rakyat Malaysia. Isu penggalian di bawah masjid al-Aqsa dan juga perancangan rejim Zionis untuk meYahudikan kota Baitul Maqdis. Walaupun kerajaan Malaysia ada mengeluarkan bantahan mereka terhadap apa yang berlaku terhadap pintu Magharebah baru-baru ini, namun ianya belum cukup. Ketegasan Kuala Lumpur dan juga OIC sedang dinantikan oleh masyarakat dunia. Usaha kerajaan sahaja tidak cukup, rakyat juga perlu bangkit.


Walau bagaimanapun, satu lagi perkara yang nampaknya masih belum diberikan tumpuan oleh

kerajaan dan rakyat Malaysia adalah isu penggalian di bawah masjid al-Aqsa dan juga perancangan rejim

Zionis untuk meYahudikan kota Baitul Maqdis.

Syabas diucapkan bagi demonstrasi yang telah dilakukan, namun usaha membebaskan al-Aqsa memerlukan lebih daripada itu. Rakyat Malaysia masih ramai yang tidak peduli tentang apa yang berlaku kepada masjid tersebut walaupun mereka tahu. Samada beralasankan “tidak penting”, “itu tugas orang Arab”, “malas” ataupun apa sahaja alasan, yang pastinya rakyat Malaysia tidak semuanya peka dan tidak semuanya pro-aktif.

Mungkin inisiatif bersama Syeikh Taysir al-Tamimi mewakili umat Islam di Baitul Maqdis dengan Patriach gereja Ortodoks Greek di Baitul Maqdis, Atallah Hanna patut dicontohi. Di dalam kenyataan media bersama di Baitul Maqdis pada 3 Mac yang lalau mereka telah bersetuju untuk menyeru umat Islam dan penganut Kristian sedunia untuk bangkit mempertahankan kota Baitul Maqdis. Keakraban dan keharmonian penganut kedua-dua agama itu selama berkurun-kurun lamanya telah dipugarkan kembali untuk bersama menentang usaha rejim Zionis. Usaha Rejim Zionis yang bercita-cita untuk meYahudikan kota berkenaan merupakan ancaman bagi penduduk Arab kota tersebut, tidak kira samada mereka muslim mahupun Kristian.

Mungkin juga inisiatif Badan Kebajikan Muassasah Syeikh Eid al-Thani al-Khayriyah di Qatar juga boleh menjadi contoh. Badan tersebut telah berjaya mengumpulkan para ulama yang diketuai oleh ulama tersohor Dr Yusuf al-Qaradawi untuk mengumpulkan tandatangan sejuta umat Islam sedunia untuk diserahkan kepada Setiausaha Agong PBB yang baru, Ban Ki Moon. Tandatangan tersebut adalah sebagai bantahan umat Islam ke atas tindakan Rejim Zionis mencabul kehormatan Masjid al-Aqsa. Masjid al-Aqsa telah diwartakan sebagai tapak bersejarah dunia di dalam bahaya semenjak tahun 1982 lagi. Bantahan tersebut juga menggesa agar PBB melakukan sesuatu.

Kedua-dua inisiatif ini agak praktikal dan boleh dilakukan oleh rakyat Malaysia. Kesungguhan TV3 memaparkan wajah duka isu Palestin setiap malam lewat siaran berita “Buletin Utama” diharapkan dapat menjadi pemangkin ke arah usaha tersebut. Mungkin telah tiba masanya rakyat Malaysia yang sedar, samada Muslim ataupun bukan Muslim untuk bersikap pro-aktif dan memulakan inisiatif “Kuala Lumpur”. Telah sampai masanya untuk lebih bertindak dan kurang bercakap!