Raed Shalah Seru Dunia Islam Sebarkan Keadaan Genting Al-Aqsa


Selasa, 10/04/07 –Ketua gerakan Islam di Palestin jajahan 48, Syeikh Raed Shalah meminta
bangsa Arab dan Islam menyebarkan keadaan genting dan bencana besar yang akan
terjadi di Al-Quds, akibat program Yahudinisasi dan penghancuran Masjid Al-Aqsa
secara bertahap.

Shalah mengecam pemerintah Israel yang menyekat semua aktivitinya, kerana menolak
tindakan Israel yang sedang berusaha menghancurkan Al-Aqsa secara bertahap melalui
penggalian pintu al-Mugharibah.

Shalah menyeru para ulama dan para pemimpin umat Islam agar tidak berdiam diri
melihat kekejaman Israel di Al-Quds dan situasi al-Aqsa dalam bahaya. Beliau juga
meminta agar semua media Palestin tidak pilih kasih dalam menyiarkan berita sebenar
di Al-Quds.

Dalam sambutan majlis Mauludur Nabi Muhammad SAW di Kver Kina wilayah Palestin
jajahan 48 petang semalam, Shalah menegaskan bahawa rakyat Palestin akan terus
berjuang mempertahankan al-Quds dan Masjid Al-Aqsa, walaupun penjajah Israel semakin
hari semakin keras menekan dan menyeksa rakyat yang berusaha mempertahankan haknya.

Beliau berkata, walaupun kami dihantar ke bulan, namun kami akan tetap
mempertaruhkan darah dan nyawa ini untuk melindungi Al-Aqsa.

Jika mereka ingin mengusir bangsa Palestin dari tanah tumpah darahnya, maka mereka
harus menyediakan jutaan keranda, kerana bangsa Palestin tidak akan berpindah dari
wilayahnya hingga mereka mati berkalang darah demi mempertahankan haknya, katanya.