Pertukaran Tahanan, Abbas & Olmert Akan Bertemu Ahad


Jumaat, 13/04/07 –

PM Israel Ehud Olmert, Ahad (15/04) depan dijangka akan bertemu dengan Presiden Palestin Mahmud Abbas berdasarkan kesepakatan yang telah dicapai dengan
orang tengah, Amerika. Israel menegaskan bahawa perbincangan tidak akan mencakupi pengambilan langkah-langkah pendirian negara Palestin sebagaimana yang diharapkan Presiden Abbas.

Beberapa sumber menjangkakan pertemuan ini akan memfokuskan perbahasan berkenaan nasib tentera Israel, Gilad Shalid yang ditawan pejuang Palestin di Gaza sejak 10 bulan lalu. Masalah pertukaran ini terus berlarutan setelah pihak Israel tidak mengendahkan senarai lebih 1000 tahanan yang diajukan gerakan Hamas untuk dibebaskan dari penjara Zionis Israel dalam pertukaran tahanan.

Pihak Israel menolak senarai nama yang diajukan Hamas tersebut dengan alasan bahawa
dalam daftar tersebut banyak nama-nama para aktivis, yang menurut Tel Aviv, “tangan-tangan mereka berlumuran darah” kerana serangan-serangan yang mereka lakukan
terhadap Israel. Olmert mengatakan bahawa pemerintahnya ingin melanjutkan
perundingan ini dengan orang tengah Mesir.

Sementara itu Hamas menyatakan kesediaannya untuk melanjutkan perundingan. Namun pihaknya menegaskan bahawa “perundingan apapun akan menemui kegagalan” sekiranya Israel terus mengecualikan sebahagian nama-nama aktivis Palestin yang harus dibebaskan.

Berkait dengan masalah ini jurucakap pemerintah Palestin, Ghazi Hamad mengatakan “sebarang kesepakatan pasti menemui kegagalan” apabila Israel meminta mengecualikan nama-nama para aktivis yang mereka tuduh membunuh atau mencederakan orang-orang Israel. Beliau menambah, gerakan Hamas tidak akan menyetujui pembuangan nama-nama aktivis dalam daftar yang harus dibebaskan hanya untuk menurut permintaan Israel.

Menteri Sekretariat Negara, Wasfi Kabha yang juga anggota pimpinan Hamas, sebelumnya menegaskan bahawa daftar tahanan Palestin yang harus dibebaskan pihak Israel mengandungi 1400 nama, termasuk pemimpin Fatah, Marwan Barghoutsi.