
Khamis, 19/04/07 –
Perdana menteri Palestin, Ismael Haneya menyatakan komitmennya untuk terus
memberi keutamaan berkenaan masalah tawanan Palestin di penjara-penjara Israel
sebagai agenda penting yang perlu diselesaikan segera oleh pemerintahannya.
Haneya yang bercakap di hadapan umum dalam majlis peringatan hari tawanan Palestin
Selasa (17/4) di Gaza menyatakan, “kita akan mengorbankan kehidupan kita, bukan
prinsip kita, kita akan mengorbankan darah kita bukan hak perundangan kita. Kita
juga tidak akan mengorbankan hak para tawanan kita yang sekarang sedang terpelosok
dalam penjara-penjara Israel”,katanya.
Dalam majlis yang dihadiri sejumlah besar keluarga tawanan yang membawa gambar
keluarga masing-masing serta para pemimpin Palestin, Haneya menegaskan, kita
memperingati hari tawanan ini bagi menyatakan komitmen kita untuk terus
memperjuangkan kebebasan para tawanan yang sekarang menghuni penjara-penjara
Israel. Namun kita tidak akan mengorbankan kebebasan kita dan hak pulang ke kampung
halaman.
Di antara kita tidak ada yang meminggirkan masalah tawanan ini yang telah berjuang
demi kemerdekaan bangsa. Tidak ada di antara kita yang mengkhianati hak suci untuk
hidup mulia. Tidak ada di antara kita yang mengenepikan hak-hak para pelarian yang
dengan sabarnya menghadapi penderitaan ini.
Hari ini anda semua, ungkap Haneya, menyatukan diri-diri anda dalam satu saf untuk
mendukung pembebasan para pahlawan kita yang sedang dipenjara. Anda juga meyakini
bahawa masalah tawanan Palestin merupakan masalah setiap rumah di Palestin. Maka
kami ucapkan selamat kepada anda semua, wahai anak-anak bangsa Palestin di
Semenanjung Gaza maupun Tebing Barat. Salam juga kepada bangsa Palestin yan
sekarang terkurung di wilayah jajahan 48 dan mereka sedang menjaga Al-Quds.
Kami ucapkan selamat pada para tawanan yang kini sedang di penjara-penjara Israel.
Anda adalah insan contoh perjuangan kami. Kami membawa amanah ini di bahu-bahu kami.
Ketahuilah, bahawa fajar kebebasan bukan sesuatu yang mustahil bagi kita, cahaya
kemenangan akan segera terbit. Kami bukan bangsa yang akan berdiam diri melihat para
tawanan dizalimi musuh. Kami tidak akan hidup berseronok ketika anak-anak kami hidup
menderita di penjara. Inilah janji kami kepada Allah dan kepada seluruh bangsa
Palestin untuk terus memperjuangkan hak-hak dan kebebasan bangsa kita, katanya
bersemangat.