Asad Tetap Mahukan Bukit Golan.


Jumaat, 11/05/07 –

Presiden Syria, Basyar Al Asad telah menegaskan bahawa tuntuan pemulangan semula Golan adalah perkara yang tidak boleh dirunding. Beliau juga menafikan wujud rundingan politik secara rahsia atau terang-terangan dengan Israel.

Dalam ucapan pembukaan dewan parlimen baru, beliau berkata bahawa pelan damai mesti dipatuhi oleh semua pihak berasaskan konsep tanah ditukar dengar keamanan, iaitu mengikut Perjanjian Madrid pada tahun 1991 serta keputusan negara-negara yang berkaitan. Dan “pendirian Israel perlu jelas dan tidak mengelirukan berhubung kesediaannya untuk memulangkan semula wilayah yang dijajah sehingga ke sempadan tahun 1967”.

Presiden Syria menganggap kerajaan Israel sekarang ini yang diterajui oleh Ehud Olmert, disifatkan sebagai lemah, tidak mampu mencapai keamanan.

Tambahnya, “Israel tidak bersedia sama ada di peringkat pemerintah atau rakyat untuk berdamai dengan adil dan menyeluruh yang mana ia memerlukan kepada pemerintah yang cekal yang boleh mengambil keputusan yang jitu”.

Beliau menjelaskan bahawa Damsyik tidak memberi mandate kepada seseorang untuk berunding mewakilinya, iaitu merujuk kepada ahli perniagaan Amerika yang berwarganegara Syria, Ibrahim Salma yang telah melawat Israel pada bulan lalu. Pada masa itu beliau berkata bahawa Israel dan Syria boleh mencapai kata sepakat dalam masa enam bulan. Namun, selepas itu kerajaan Syria menafikan bahawa Sualaiman adalah wakil daripadanya.