Ketua Pasukan Jihad Islam Merayu Fateh, Hamas Supaya Menghentikan Pertelingkahan


Jumaat, 18/05/07 –
Khalid Jaradat, salah seorang ketua Jihad Islam Khamis lalu merayu kepada ketua, anggota dan penyokong-penyokong pergerakan Fateh dan Hamas supaya menghentikan pertumpahan darah di Gaza Strip dan untuk mengembalikan kesatuan Palestin.

Jaradat menegaskan bahawa pertelingkahan dan pembunuhan berterusan serta kerosakan harta awam dan peribadi “hanya memenuhi keperluan rejim Zionis dan musuh-musuh Palestin”. Tambahnya lagi, rakyat Palestin sedang menderita setiap hari selagi rejim Zionis masih meneruskan rampasan, serangan, pembunuhan dan penangkapan.

“Atas nama mereka yang syahid, tahanan dan setiap penduduk Palestin, kami merayu supaya kamu menghentikan pertempuran ini, dan menghentikan serangan di jalanan”, kata Jaradat lagi. “Peperangan besar kita ialah dengan rejim Zionis, dan kita hendaklah bersatu, Fateh, Hamas, dan setiap puak dan penduduk, kita semua adalah berdepan dengan peperangan yang sama iaitu berdepan dengan rejim Zionis”.

Jaradat juga menambah perlunya usaha berterusan yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengatasi masalah dan halangan yang melanda serta menyambung semula dialog ataupun perbincangan dalaman di antara Fateh dan Hamas untuk menghentikan pertempuran, huru hara dan keadaan yang tidak selamat.