Rumah Anggota Hamas Jadi Sasaran Bom Rejim Zionis.


Isnin, 21/05/07 –Pesawat Israel telah mengebom sebuah bangunan di Shejaeyya bersebelahan dengan sebahagian timur Bandar Gaza petang Ahad lalu membunuh lapan orang dan mencederakan sebilangan yang lain.Bangunan yang disasarkan adalah sebuah dewan kepunyaan keluarga al-Hayya dan ia rebah di sebelah rumah pemimpin terkemuka Hamas serta ahli politik PLC iaitu Dr. Khalil al Hayya.

Saksi-saksi berkata pesawat Israel telah melepaskan sekurang-kurangnya sebuah peluru berpandu pada dewan yang sedang berkumpul sebilangan orang di dalamnya dan membunuh lapan orang, tujuh daripada mereka adalah ahli keluarga al Hayya dan mangsa kelapan belum dapat dikenal pasti ketika laporan ini ditulis.

Dr. Khalil al Hayya yang jelas merupakan sasaran pencerobohan ini tiada di dewan pada masa tersebut.Serangan udara ini dilihat sebagai pelaksanaan keputusan kerajaan Israel untuk mensasarkan kepimpinan politik Hamas jika tembakan roket buatan sendiri yang dilancarkan dari Gaza berterusan.