Olmert Tekad Akan Serang Individu Yang Terlibat Dengan Bedilan Roket Ke Sderot.


Rabu, 30/05/07 –Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert bertekad akan menyerang mana-mana individu yang ada kaitan dengan bedilan roket ke atas Israel. Beliau juga menyentuh mengenai kemampuannya untuk mensasarkan pemimpin politik Hamas.

Dalam mesyuarat kabinet yang berlangsung, serentak dengan kematian seorang Israel dan mencederakan seorang yang lain akibat terkena roket Qassam yang jayuh di Bandar itu, Olmert berkata, “tidak ada seorang pun yang akan terlepas dengan mudah”.

Tambahnya, “kami tidak terikat dengan mana-mana jadual aturan dari luar.. Kami akan putuskan bila, bagaimana dan setakat mana tindakan kami.. Kami bertindak tanpa ada sebarang ikatan atau nasihat dari seseorang pun”.

Meskipun kenyataan Olmert menampakkan Israel akan memperhebatkan serangan ke atas Ghaza, namun beliau tidak bersetuju setakat ini untuk melaksanakan serangan darat besar-besaran.

Namun, briged Al Qassam Hamas mencabar Israel dan memberikan kenaikan pangkat kepada anggota briged yang membedil Sderot dengan roket. Briged juga tetap enggan menggencat senjata dengan Israel selagi ia tidak menyeluruh dan dari kedua-dua pihak.

Dalam pada itu, pemimpin Fatah telah mengadakan rundingan di Kaherah. Sementara Hamas pula bersetuju menyertainya bagi membincangkan tentang perkembangan situasi dalaman.

Delegasi Fatah yang terdiri daripada mantan ketua parlimen Ruhi Fattuh, Timbalan Perdana Menteri, Azam Al Ahmad serta ketua-ketua polis Palestin telah mengadakan rundingan dengan Pengarah Perisikan Am Mesir, Umar Sulaiman yang dijadualkan akan bertemu Hamas.