Rabu, 30/05/07 –Wakil Hamas, Ayman Taha telah menyatakan bahawa penduduk Palestin tidak memerlukan perjanjian-perjanjian baru berkaitan dengan situasi dalaman penduduk Palestin, tetapi mereka lebih memerlukan perlaksanakan perjanjian yang sedia ada.
Dalam konteks ini, Taha menjelaskan bahawa Hamas menjangkakan mesyuarat di Kaherah yang disertai 4 kumpulan penduduk Palestin termasuk Hamas, untuk mengesahkan perjanjian yang ditandatangani antara Hamas dan Fatah serta melaksanakan perjanjian Mekah secara menyeluruh.
“Kita dalam Hamas mempercayai bahawa perjanjian Mekah adalah satu detik bersejarah yang mestilah dikekalkan kerana ia merupakan satu asas yang kukuh untuk melaksanakan perkara-perkara lain, dan apa yang kita perlukan adalah untuk menepati perjanjian itu dengan perlaksanaan”, menurut Taha.
Beliau menambah bahawa perjanjian Mekah jelas menetapkan beberapa isu, termasuk penyusunan semula PLO, perkongsian politik dan situasi dalaman Palestin selain perkara-perkara sensitif yang lain.
“Untuk bahagian kami, kami berharap supaya kita dapat menganalisa titik-titik kecacatan di kalangan penduduk Palestin supaya kita dapat menyatakan pandangan dan melontarkan saudara kita di Mesir dengan fakta yang boleh membantu dalam merawat situasi dalaman penduduk Palestin”, tambah Taha.
Oleh itu, beliau menambah, delegasi Hamas akan mengetuai kumpulan dari kalangan puak-puak Palestin ke Kaherah Selasa ini dan akan berbincang perkara-perkara tersebut dengan Mesir.
Semasa ditanya sebab-sebab Mesir untuk berjumpa dengan setiap kumpulan secara individu, Taha menjawab, “Ini adalah urusan pihak Mesir yang mungkin mahu memahami dimensi peristiwa-peristiwa dalam arena penduduk Palestin secara umum sebelum membentuk satu asas yang baik untuk berdialog dengan kumpulan-kumpulan Palestin”.
Menurut sumber-sumber rapat Hamas, delegasi Hamas akan termasuk bekas Menteri Dalam Negeri juga pemimpin politik kanan Hamas, Sa’aeed Siyam dan Jamal Abu Hashim, anggota biro politik Hamas, tambahan kenyataan Taha. Anggota-anggota kepimpinan Hamas yang lain di luar negeri juga akan ke Kaherah untuk tujuan yang sama.