Mubarak Kecam Hamas.


Khamis, 05/07/07 –
Sebelum menjelang sidang kemuncak empat penjuru Syaram Sheikh, Presiden Mesir, Hosni Mubarak, sekali lagi mengulangi sokongannya terhadap Presiden Palestin, Mahmoud Abbas. Beliau juga menyifatkan penguasaan Hamas ke atas Ghaza adalah sebagai satu rampasan kuasa.

Mubarak berkata dalam ucapannya kepada anggota parlimen bagi parti kebangsaan pemerintah bahawa beliau mengulangi penegasannya terhadap kredibiliti pentadbiran Palestin, Presiden Abbas serta kerajaannya.

Beliau menambah, negaranya mengikuti dengan terperinci perkembangan penggulingan terhadap kredibiliti kerajaan Palestin di Ghaza “serta kemusnahan teruk yang dialami oleh rakyat Palestin”.

Mubarak menyatakan bahawa kesan buruk kemanusiaan buat masa ini di Ghaza akan menjadi anatara tajuk perbincangan dalam mesyuaratnya pada Isnin ini dengan Presiden Abbas serta Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert serta Raja Jordan, Abdullah II di Syarm Syeikh .

Di Israel pula, Kerajaan Olmert ditunggu-tunggu akan mengumumkan pelepasan “sebahagian” dana kerajaan Palestin yang dianggarkan 600 juta dolar. Namun, jurucakap Perdana Menteri berkata, kerajaan diminta hanya mengambil “keputusaan awal”. Beliau tidak menerangkan jumlah dana tersebut.