
Jumaat, 10/08/07 – Gaza: Seramai 3 orang Palestin syahid dalam serangan militan Zionis Israel di Semenanjung Gaza, Rabu (08/08). Dua orang korban adalah pejuang Brigade al Qassam, sayap ketenteraan Gerakan Perlawanan Islam Hamas dan seorang lagi adalah kakitangan eksekutif Kementerian Dalam Negeri Palestin.
Sumber-sumber Palestin menyebutkan, dua orang pejuang al Qassam gugur dalam serangan Rejim Zionis di kampung Syujaeya, bahagian timur bandar Gaza. Brigade al Qassam menyebutkan, dua orang anggotanya yang gugur adalah Muhammad Shubhi Bathnijy (19) dan Fadi Fawaz (23). Keduanya sedang bertugas di perbatasan bahagian timur bandar Gaza.
Menurut beberapa sumber tempatan, pasukan khas Zionis Israel menyusup masuk gerbang Minthar (Karni), timur Gaza, dan menyerang para pejuang Palestin yang sedang berjaga di perbatasan sehingga berlaku tembak-menembak dua orang pejuang gugur.
Dalam pernyataan akhbarnya, Brigade al Qassam menegaskan tentang kejadian yang berlaku dan dua pejuangnya gugur. “Pertempuran senjata berlangsung selama 45 minit. Dalam kejadian ini dua pejuang gugur. Semoga keduanya gugur syahid di jalan Allah.â€
Sementara itu di tempat yang lain, seorang anggota pasukan eksekutif, Kementerian Dalam Negeri Palestin, Ikrami Abu Umsha (22) syahid ditembak pasukan penjajah Zionis Israel berdekatan pintu masuk Beit Hanun, wilayah utara Semenanjung Gaza. Seorang penduduk bernama Yusuf Syanbari cedera dalam serangan ini.
Para saksi mengatakan, pasukan eksekutif Palestin sedang membantu penduduk yang hendak melalui pintu gerbang, tiba-tiba mereka dikejutkan dengan serangan pasukan militan Zionis Israel ke arah mereka. Serangan ini mengakibatkan seorang anggota pasukan eksekutif gugur dan seorang lainnya cedera.
Selama ini pasukan eksekutif Palestin membantu proses penyeberangan warga Palestin yang pulang ke Semenanjung Gaza melalui gerbang Minthar (Karni) setelah pasukan penjajah Zionis Israel menutup pintu di sempadan Rafah, wilayah selatan Semenanjung Gaza yang bersempadan dengan Mesir, atas permintaan Presiden Palestin Mahmud Abbas.