Mufti mengutuk tindakan menutup Masjid Ibrahimi


Isnin, 20/08/07 – Mufti Jurusalem dan Palestin mengutuk penawanan rejim Zionis dan penutupan Masjid Ibrahimi di bandar Khalil dengan alasan untuk membenarkan orang-orang Yahudi meraikan perayaan mereka. Sheikh Mohamad Hussein, pengerusi majlis fatwa tertinggi berkata semua agama samawi melarang sebarang bentuk penghinaan tempat ibadat. Beliau mahu satu tindakan di ambil ke atas perkara tersebut yang melarang umat Islam memasuki tempat suci mereka.

Beliau tidak dapat menerima alasan rejim Zionis bahawa penutupan tersebut adalah untuk memberi laluan kepada orang Yahudi meraikan perayaan mereka. Sebaliknya, beliau merasakan bahawa tindakan pihak Zionis itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menyekat kebebasan mengunjungi tempat ibadat.

Mufti juga mengecam tindakan rejim Zionis mengebumikan askar-askar Palestin yang syahid di tempat perkuburan awam, di mana tindakan tersebut melanggar undang-undang antarabangsa dan norma masyarakat.

Beliau menegaskan bahawa pengebumian jenazah-jenazah yang syahid tersebut sepatutnya dilakukan mengikut syariat Islam, dan beliau merayu kepada mahkamah antarabangsa supaya memberi tekanan kepada rejim Zionis untuk menghantar mayat-mayat tersebut kepada waris untuk dikebumikan mengikut syariat Islam.