Ahli Parlimen Itali mendesak Abbas untuk dialog secara terbuka dengan Hamas


Isnin, 20/08/07 – RAMALLAH, (PEACH)– Ali Rashid, ahli Parlimen Itali yang berasal dari Palestin telah mengunjungi Presiden Palestin, Mahmoud Abbas untuk membuka saluran dialog dengan Hamas bagi kepentingan negara dan menegaskan kesediaannya untuk menemui pemimpin-pemimpin Hamas.

Dalam satu kenyataan akhbar di laman web Al-Jazeera, Ali Rashid telah mengecam penolakan Abbas dan pegawai Fatah untuk menemui wakil-wakil Hamas yang telah dilantik secara demokrasi, sedangkan mereka pula mengadakan rundingan dengan IOA.

Ahli Parlimen tersebut mengalu-alukan sikap kerajaan Itali terhadap Palestin dan menggambarkan mereka sebagai paling terkehadapan berbanding dengan Arab malah beberapa pegawai Palestin yang lain.

Mengenai pilihan raya awal yang diminta oleh Abbas, Ahli Parlimen itu berkata bahawa tidak terdapat justifikasi untuk mengadakan pilihan raya umum awal kerana terdapat majoriti dalam PLC yang memelihara kesinambungan perpaduan kerajaan kebangsaan yang telah diwujudkan di Makkah dan mahu Abbas tidak hanya menangani undang-undang secara terpilih.

Beliau juga menyatakan orang-orang Eropah kini mengakui bahawa perlindungan Amerika terhadap Zionis merupakan halangan untuk mencapai keamanan.