
Khamis, 06/09/07 – RAMALLAH, Rejim Zionis menculik 10 remaja bawah umur Palestin di sebuah kampung di barat bandar Ramallah awal pagi Rabu lepas atas alasan mereka melontar batu-batu ke arah kenderaan-kenderaan penceroboh Israel.
Dalam kempen yang sama juga, Rejim Zionis telah menahan kanak-kanak Palestin di kampung berhampiran beberapa hari lepas.
Di Semenanjung Gaza, saksi-saksi berkata sejumlah kereta kebal Rejim Zionis mara ke utara Gaza berhampiran bandar Beit Hanun sebelum berundur pada waktu tengah hari dengan meninggalkan kemusnahan yang besar.
Saksi-saksi berkata bahawa kereta-kereta kebal itu telah memusnahkan tempat tinggal haiwan dan membunuh sebilangan binatang ternakan.
Sementara itu, Rejim Zionis telah membedil kedudukan polis marin Palestin yang baru ditubuhkan di barat laut Sudaniya, bandar Gaza namun tiada kecederaan dilaporkan.
Di kem pelarian Balata Nablus yang hampir dengan bandar tersebut, Rejim Zionis menceroboh rumah dua banduan daripada Hamas dan memusnahkan bahagian dalam bangunan itu sebelum meletupkan dinamit di tingkat tiga.
Bangunan yang baru dibina itu habis musnah manakala letupan kuat membuatkan keseluruhan bangunan itu retak dan tidak sesuai untuk didiami.
Bapa kedua-dua banduan tersebut berkata 17 orang dengan lebih separuh dari mereka adalah kanak-kanak kini tidak mempunyai rumah.