Syria Bersiap Sedia Bertindak Balas Ke Atas Israel.


Selasa, 18/09/07 –
Timbalan Menteri Luar Syria, Faisal Miqdad berkata, negaranya mempunyai hak untuk bertindak balas terhadap pencabulan yang dilakukan Israel ke atas ruang udaranya, cuma tegas beliau Syria yang mahu memilih masa, dan tempat untuk bertindak balas.

Agensi berita Perancis memetik dari beliau sebagai berkata, “Syria tidak biasa berdiam diri dari bertindak balas terhadap pencabulan itu, namun ia memilih bila dan di mana untuk bertindak balas”. Tambahnya, Syria “akan bertindak balas ke atas sebarang rancangan jahat Israel sekarang ini dan akan datang”.

Menjawab apa yang diperkatakan oleh pegawai-pegawai Amerika mengenai serangan udara yang mensasarkan kontena senjata, Miqdad berkata, “dakwaan itu tidak benar sama sekali. Ia hanya menunjukkan permusuhan oleh pihak tersebut serta gagal mengendalikan masalah di rantau ini”.

Beliau berkata, “Syria kuat kerana tentera bersenjata dan rakyatnya kental, bersiap sedia untuk mempertahankan tanah, air, langit dan tanahair”.