
Isnin, 11/02/08 –Sidang mingguan kabinet Zionis ‘Israel’, Ahad (10/2) memutuskan untuk membunuh para pemimpin tertinggi politik Hamas, sama ada yang berada di dalam
Palestin mahupun di luar. Keputusan ini seiring dengan peningkatan serangan pembunuhan terhadap pemimpin dan pejuang Palestin di Semenanjung Gaza.
Beberapa media massa Zionis ‘Israel’ mengatakan bahawa mesyuarat yang dihadiri oleh PM Ehud Olmert, Menteri Pertahanan Ehud Barak, Ketua Badan Perisikan Dalam Negeri, Yoval Disken dan Panglima Angkatan Perang, Ghabi Eshkanazy berakhir dengan keputusan membunuh semua pemimpin politik dan tentera Hamas.
Radio ‘Israel’ menyebutkan bahawa, dalam sidang mingguan kabinet Ahad (10/2) diputuskan untuk memulakan dengan membunuh para pemimpin tertinggi politik Hamas, sama ada di dalam Palestin mahupun di luar. Keputusan ini didasari oleh tuduhan yang mengatakan bahawa serangan roket dan aksi pengebom berani mati Palestin datang dari arahan pemerintah.
PM Olmert mengatakan bahawa pasukan tenteranya akan menggunakan segala kekuatan yang mampu menjangkau ‘elemen-elemen teroris’ yang memang bertanggungjawab terhadap serangan roket ke kawasan penempatan Israel. “Termasuk yang melepaskan dan yang mengirimkan pesanan untuk melepaskan roket,” demikian ancaman Olmert yang merujuk kepada pemimpin tertinggi politik dan tentera Hamas.