
Isnin , 19-10-2020 – Menteri Luar Arab Saudi Faisal bin Farhan memberitahu bahawa negaranya tidak pernah menghalang usaha negara-negara Arab untuk memulihkan hubungan dengan Israel.
Namun, dalam perbincangan tertutup dengan pegawai dari Kesatuan Eropah di Brussels yang diadakan baru-baru ini, Farhan menegaskan bahawa Riyadh akan menyertai usaha tersebut hanya setelah selesai perjanjian damai antara Israel dan Palestin.
Sementara itu, pegawai Saudi berkenaan mengulangi pendirian negaranya terhadap Iran, dan menuduhnya sebagai menyokong kumpulan pengganas dan menimbulkan ancaman besar terhadap kestabilan di wilayah itu melalui program peluru berpandu dan nuklearnya.
Beliau mengatakan bahawa Arab Saudi akan terus menghadapi apa yang dianggapnya sebagai ketidakstabilan di wilayah tersebut oleh Iran.
Dalam perkara ini, Setiausaha Negara Amerika Syarikat Mike Pompeo mengucapkan terima kasih kepada Arab Saudi atas sokongan mereka terhadap perjanjian diplomatik antara Israel dan dua negara Teluk baru-baru ini, dan mendesak Riyadh untuk juga menjalin hubungan sendiri dengan Israel.
“Kami berharap Arab Saudi juga mempertimbangkan untuk memulihkan hubungannya, dan kami ingin mengucapkan terima kasih atas bantuan yang mereka perolehi dalam menjayakan Perjanjian Abraham setakat ini,” kata Pompeo. “Kami juga berharap kerajaan itu akan menggalak pihak Palestin untuk kembali berdialog dan berunding dengan Israel.”
Pompeo membuat kenyataannya di Washington ketika penampilan bersama dengan menteri luar Saudi.
sumber : http://english.palinfo.com
penterjemah : Ezatul