Rabu, 12/03/08 – PM Palestin, Ismail Haneyya berkata keputusan penjajah Israel untuk menghentikan serangan ke atas Gaza mencerminkan kegagalan mereka mengekang perjuangan rakyat Palestin sekaligus mengukuhkan perjuangan mereka.
Beliau menyelar sikap Amerika dalam peranannya mewujudkan kekacauan dalam masyarakat Palestin dan membelakangi prinsip-prinsip demokrasi. Sambil itu, beliau memuji usaha yang dilakukan oleh Mesir dalam menangani masalah yang dihadapi oleh masyarakat Palestin dan juga usaha Yaman dalam memulihkan kembali hubungan Hamas-Fatah.
Beliau kemudian berkata tindakan Presiden PA Mahmoud Abbas untuk kembali ke meja rundingan bersama Israel adalah salah kerana perkara tersebut tidak akan membantu dalam kebaikan rakyat Palestin dan akan mengugat kepentigan Palestin.
Akhbar harian Israel, Ha’aretz berkata tentera Israel tidak akan menyerang Gaza selagi mana tiada roket dilancarkan dari situ untuk menyerang penduduk Israel. ‘Strategi terbaru’ Israel ini telah pun mendapat mandat daripada Setiausaha Amerika, Condoleeza Rice.
Para pejuang Palestin berulang kali telah menyatakan tiada perdamaian selagi mana pihak Israel tidak memenuhi mana-mana tuntutan minimum rakyat Palestin.