Jumaat, 22/08/2008 –Pejabat PM Ehud Olmet telah menafikan sekeras-kerasnya Khamis lalu bahawa Israel mahu menyerap 20,000 pelarian Palestin ke dalam kawasan yang dijajah tahun 1948, sambil menambah bahawa Israel telah jelas yang tidak ada walau seorangpun pelarian Palestin yang akan dibenarkan pulang.
Laman sawang pejabat PM itu di internet pula menegaskan bahawa sebarang perjanjian antara Palestin dan Israel pada masa akan datang pasti tidak akan memasukkan hak rakyat Palestin untuk kembali walau sebesar manapun jumlah mereka, sambil menjelaskan bahawa pendirian Israel dalam hal ini telahpun jelas bagi Presiden PA Mahmoud Abbas.
Menurut Olmert, “masa depan kerajaan Palestin mungkin akan menyerap pelarian Palestin yang memilih untuk pulang, namun bagi yang tidak mahu pulang, satu mekanisma antarabangsa akan diwujudkan untuk melihat bagaimana mereka ini dapat diberi pampasan.”
Pendirian Israel dalam hal ini dilihat sama dengan pendirian Presiden Amerika, George W. Bush tahun 2004 ketika beliau berkata bahawa pelarian Palestin tidak akan dibenarkan masuk ke dalam Israel tetapi mereka akan dibenarkan pulang setelah kerajaan Palestin tertubuh.