Categories
Berita Semasa

Pengeboman Gaza, menyamai letupan bom nuklear.

Jumaat, 27-10-2023 Dalam satu kenyataan akhbar pada hari Rabu yang lalu, Ketua Pejabat Media Kerajaan di Gaza, Salama Marouf berkata bahawa “Serangan udara oleh Israel ke atas kedai roti Al-Maghazi adalah pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan secara berterusan terhadap rakyat kita.”

Marouf turut menjelaskan bahawa kedai roti itu dibekalkan dengan tepung beberapa jam lebih awal oleh UNRWA. Sebagai bekalan makanan untuk puluhan ribu penduduk kem dan mereka yang dipindahkan di sana. Peluru berpandu itu telah memusnahkan sepenuhnya kedai roti dan hanya meninggalkan kesan lubang besar di tempat tersebut. Selain itu, turut merobohkan beberapa rumah di sekitar kedai roti di tengah kem pelarian Al-Maghazi, 10 terbunuh dan berpuluh-puluh lagi cedera.

“Tingkahlaku mereka memang benar-benar konsisten semenjak awal jenayah pencerobohan lagi. Ini menunjukkan pembohongan pendudukan dan sifat sasarannya di Semenanjung Gaza. Kita telah menyaksikan berpuluh-puluh contoh peristiwa serangan udara yang menyasarkan tempat himpunan orang awam seperti di kedai roti, pasar, hospital dan gereja. Misalnya peristiwa pembunuhan beramai-ramai di Hospital Al-Ahli Al-Arabi dan Gereja Ortodoks Yunani,” katanya.

“Ini adalah jenayah melalui penjajahan yang meningkatkan kos kemanusiaan bagi mangsa pembunuhan beramai-ramai. Lebih memburukkan lagi keadaan apabila rakyat kita menanggung kesengsaraan ini di bawah kepungan ketat dan sekatan daripada mendapatkan keperluan asas dan keperluan hidup,” tambah beliau.

Terdahulu pada petang Selasa, pesawat pejuang Israel telah menjatuhkan lebih 12,000 tan bahan letupan di Semenanjung Gaza sejak 7 Oktober. Kekuatan letupan adalah sama dengan bom nuklear yang dijatuhkan di Hiroshima di Jepun pada tahun 1945.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Kamariah