
Isnin, 30-10-2023 Sekurang-kurangnya 2,360 kanak-kanak telah dibunuh sepanjang 18 hari lalu dalam kekejaman berterusan Israel di Semenanjung Gaza, dengan lebih 400 kanak-kanak sama ada terbunuh atau cedera setiap hari, menurut laporan Pertubuhan Kanak-Kanak Bangsa Bersatu, UNICEF .
Pertubuhan PBB turut mendedahkan, seramai 5,364 kanak-kanak Gaza telah cedera sejak 7 Oktober, menggambarkan tempoh 18 hari itu sebagai peningkatan pertembungan paling dahsyat di Semenanjung Gaza yang telah disaksikan oleh pihak PBB sejak 2006.
Dalam satu kenyataan pada hari Selasa, UNICEF berkata: “Keadaan di Semenanjung Gaza semakin meremehkan pegangan nilai sejagat kita”, dan menggesa “gencatan senjata kemanusiaan segera”, dan “semua akses lintasan ke Gaza dibuka untuk keselamatan, akses bantuan kemanusiaan yang berterusan dan tanpa halangan, termasuk air, makanan, bekalan perubatan dan bahan api.”
Tegas UNICEF, hampir setiap kanak-kanak di Semenanjung Gaza terdedah kepada peristiwa dan trauma yang amat menyedihkan kerana menyaksikan kemusnahan yang meluas, serangan tanpa henti, perpindahan, dan kekurangan melampau terhadap keperluan penting seperti makanan, air dan ubat-ubatan.
“Pembunuhan dan kecacatan akibat serangan terhadap kanak-kanak, penculikan kanak-kanak, serangan ke atas hospital dan sekolah, dan penafian akses kemanusiaan merupakan pencabulan terbesar kepada hak kanak-kanak,” Pengarah Serantau UNICEF untuk Timur Tengah dan Afrika Utara, Adele Khader berkata.
Kenyataan itu juga merujuk kepada pembunuhan kanak-kanak oleh rejim Israel di Tebing Barat, menyatakan “Tebing Barat juga telah menyaksikan lonjakan yang membimbangkan dalam kematian, dengan hampir seratus rakyat Palestin dilaporkan kehilangan nyawa mereka, termasuk 28 kanak-kanak, dan sekurang-kurangnya 160 kanak-kanak dilaporkan mengalami kecederaan, sejak 7 Oktober 2023.”
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Suwaibah