
Khamis , 09-11-2023 – Kerajaan Jordan mengumumkan bahawa pesawat tenteranya telah menghantar bantuan perubatan segera secara ‘airdrop’ ke hospital medan Jordan di semenanjung Gaza pada awal pagi Isnin 6 November 2023.
Dalam hantaran Raja Abdullah II di platform “X”, baginda menyatakan bahawa kejayaan menghantar bantuan itu merupakan tanggungjawab negaranya terhadap rakyat Gaza dan Jordan akan terus kekal menjadi penyokong kuat dan paling hampir dengan saudara Palestin mereka.
Menurut sumber Angkatan Tentera Jordan, sebuah pesawat Tentera Diraja menggugurkan bantuan perubatan segera menggunakan payung terjun ke hospital medan milik Jordan di Gaza selepas bekalan di hospital tersebut hampir kehabisan ekoran kelewatan bantuan darat yang tiba melalui sempadan Rafah. Menurut sumber itu lagi, hospital medan milik Jordan akan terus beroperasi untuk membantu meringankan penderitaan penduduk Gaza walaupun mengalami masalah kekurangan bekalan yang teruk.
Hospital medan tersebut telah beroperasi semenjak 2009 dengan kerjasama Tentera Jordan dan mengendalikan 1000 hingga 1200 orang pesakit setiap hari.
Bantuan ini tepat pada masanya ketika mana Kementerian Kesihatan Gaza mengumumkan bahawa 16 daripada keseluruhan 35 buah hospital di seluruh Gaza terpaksa ditutup akibat (1) ancaman dan serangan berterusan daripada rejim Zionis atau (2) kekurangan bahan api untuk menjana bekalan elektrik.
Selain masalah tersebut, perkhidmatan perubatan Gaza juga kini berhadapan dengan masalah keletihan melampau di kalangan kakitangan perubatan yang mengendalikan lebih 36 ribu kes mangsa perang dan ribuan pesakit lain setakat 1 bulan peperangan ini berlangsung.
Lebih memburukkan keadaan, rejim Zionis telah bertindak memisahkan utara dan selatan Gaza sehingga menyukarkan bantuan yang tiba dari selatan iaitu sempadan Rafah untuk dihantar ke Gaza City dan utara Gaza.
Setakat Isnin 6 November 2023, Kementerian Kesihatan Gaza telah mengesahkan bahawa jumlah mangsa yang syahid adalah 9770 orang dan jumlah mangsa cedera melebihi 25000 orang, dengan lebih 70% mangsa merupakan wanita dan kanak-kanak.
sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Iman