
Khamis , 09-11-2023 – Holocaust pasukan penjajah Zionis, di Semenanjung Gaza telah memasuki hari ke-31 berturut-turut. Mereka melancarkan serangan dari udara dengan pesawat dan menghujani kediaman penduduk dengan ribuan bom yang dijatuhkan ke atas penduduk Gaza, disertai dengan ratusan serbuan dan pencerobohan yang dilakukan dari pelbagai arah di daratan, bertujuan melumpuhkan sebarang talian hayat bagi warga penduduk. Keadaan itu mengakibatkan bumi Gaza kini hangus terbakar. Walaubagaimanapun di tengah-tengah pembunuhan berdarah secara beramai-ramai itu, tentera Zionis tetap mendapat tentangan yang hebat dan berani daripada barisan pertahanan Palestin.
Tentera Zionis juga dikenal pasti, terus menerus melakukan pembunuhan secara beramai-ramai terhadap orang awam. Dalam satu laporan menyebutkan, pesawat Zionis telah menyerang sebuah rumah milik keluarga Qishta di kejiranan Al-Geneina, timur Gabenor Rafah. Pesawat penjajah juga didapati mengebom Kompleks Perubatan Al-Shifa, yang menempatkan mangsa yang kehilangan tempat tinggal, sekaligus mengakibatkan seorang gadis terbunuh dan mencederakan 5 yang lain, termasuk seorang wanita.
Sumber perubatan melaporkan kerosakan material yang besar dan kes ketakutan dan trauma di kalangan pesakit dan kakitangan perubatan sangat merisaukan, sehingga ramai penghuni terpaksa dipindahkan akibat pengeboman bangunan utama Kompleks Perubatan Al-Shifa itu.
Di dalam laporan yang lain, 6 rakyat mati syahid akibat pengeboman pesawat penjajah Zionis ke atas sebuah rumah milik keluarga Sammour di Bani Suhaila, timur Khan Yunis. Sumber tempatan melaporkan bahawa para syuhada ialah: Ahmed Marzouk Sammour, Iyad Marzouk Sammour, Ayman Marzouk Sammour, isterinya Mai Ismail Sammour, dan dua anak perempuan mereka iaitu Hadeel dan Farah.
Pesawat penjajah itu juga dilaporkan mengebom Masjid Syahid Salah Shehadeh di kem Nuseirat di tengah Semenanjung Gaza.
Bulan Sabit Merah Palestin turut mengumumkan bahawa seorang paramedik cedera parah dalam pengeboman yang menyasarkan pintu masuk ke Hospital Al-Quds, barat Kota Gaza.
Pagi ini, Kementerian Kesihatan juga mengesahkan sekurang-kurangnya 103 syuhada dan 106 mangsa yang cedera telah tiba di Kompleks Perubatan Al-Shifa sejak malam tadi.
Pesawat penjajah dalam serangan itu juga bertindak mengebom sebuah rumah milik keluarga Shaqura di kejiranan Al-Amal, barat Khan Yunis, mengakibatkan kematian 5 rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak, dan beberapa orang tercedera.
Kementerian Kesihatan berkata: Rejim penjajah itu turut menyasarkan satu-satunya Hospital Psikiatri di Semenanjung Gaza dan Hospital Mata, yang telah memusnahkan hampir keseluruhan hospital.
Rejim penjajah dalam kejadian yang lain turut mengebom sebuah apartmen kediaman di kawasan kejiranan Abu Jame di Bani Suhaila, timur Khan Yunis di mana pesawat tentera turut menyasarkan Faisal School Street di Al-Saftawi, utara Semenanjung Gaza. Pesawat rejim penjajah juga didapati mengebom bangunan Al-Waha yang bertentangan dengan Suwaydi Al-Nasr di Kota Gaza.
Wartawan kami melaporkan bahawa Genting Gaza mengalami malam yang sangat sukar dan dahsyat di mana tentera rejim penjajah telah melancarkan 450 serangan sekaligus mengubah Jalur Gaza secara total menjadi lautan api dengan letupan tanpa henti. Buat kesekian kalinya juga, rejim penjajah berjaya memutuskan sumber komunikasi dan internet untuk yang ketiga kali dalam tempoh masa kurang dari seminggu.
Sumber Syarikat Telekomunikasi Palestin mengesahkan bahawa komunikasi dan internet kekal terputus selama lebih daripada 15 jam ketika serbuan yang lebih agresif dilancarkan, sebelum ia mula beransur-ansur kembali pulih bermula 9:10 pagi tadi.
Sumber tempatan dalam kenyataan lain pula melaporkan bahawa antara yang mati syahid kali ini ialah isteri dan empat anak seorang warganegara, Talaat Barhoum, yang juga merupakan ketua Jabatan Perhubungan Awam dan Media di Hospital Al-Najjar di Rafah.
Kekejaman berterusan apabila pasukan rejim penjajah juga melepaskan tembakan meriam ke arah sebuah sekolah yang di jadikan pusat pemindahan sementara di Beit Lahia di utara Semenanjung Gaza, mengakibatkan seorang syahid dan beberapa yg lain cedera.
Sekurang-kurangnya tiga orang syahid yang lain pula dilaporkan telah tiba di Hospital Indonesia di utara Gaza selepas pengeboman di Beit Hanoun.
Pantai barat Gaza turut mengalami serangan yang sengit dari tentera Zionis Israel apabila bunyi pertempuran kedengaran selepas rejim penjajah mengumumkan ketibaan kereta kebal mereka di kawasan itu.
Wartawan Muhammad Al-Jaja yang merupakan perunding pembangunan institusi di Press House, juga dilaporkan telah syahid bersama isteri, anak perempuan, ibu, bapa, adik-beradik, dan beberapa saudaranya dalam kejadian pengeboman yang disasarkan ke rumahnya di kejiranan Al-Nasr Gaza malam tadi.
Pesawat penjajah Zionis juga didapati telah meletupkan sebuah rumah yang diduduki oleh keluarga Sinwar di Kem Jabalia, mengakibatkan ramai yang syahid, cedera parah dan ramai yang masih belum ditemui.
Selama lebih 30 hari ini, tentera musuh Zionis telah meneruskan kemusnahan berdarah di semenanjung Gaza, yang telah mengakibatkan hampir 10,000 orang syahid, 25,000 orang cedera, 2,500 hilang tanpa khabar berita, manakala 1.6 juta yang lain kehilangan tempat tinggal. Serangan ini turut mengakibatkan kemusnahan sepenuhnya membabitkan tidak kurang dari 250,000 unit rumah.
sumber : https://palinfo.com/ diterjemah oleh Ahmed Al-Marsogi