Rejim Zionis (Iof) Menahan 55 Rakyat Palestin Di Tebing Barat

Khamis , 09-11-2023 – Rejim Zionis (IOF) memulakan operasi tangkapan besar-besaran di Tebing Barat pada awal pagi Selasa, dengan menahan sekurang-kurangnya 55 orang Palestin sebagai sebahagian daripada siri kempen penahanan berterusan oleh Israel terhadap rakyat Palestin.

Kesatuan Tahanan Palestin dalam kenyataan akhbar menyatakan bahawa operasi tangkapan tersebut dijalankan secara intensif di wilayah Tebing Barat; al-Khalil dan Ramallah, manakala tangkapan yang lain berlaku di bandar-bandar Tebing Barat yang lain.

Tangkapan berkenaan, menurut kesatuan berkenaan telah memberi kesan kepada semua lapisan masyarakat, termasuk wanita, kanak-kanak, warga emas, dan bekas tahanan.
Di al-Khalil, tentera rejim menyerbu dan merosakkan rumah-rumah , menyerang penduduk Palestin, dan mengambil langkah-langkah untuk merobohkan rumah-rumah aktivis dan bekas tahanan Palestin.

Sumber tempatan melaporkan bahawa seorang pemuda Palestin terbunuh, dan 7 orang lain cedera semasa pergolakan berlaku di pelbagai bandar di al-Khalil, yang mana salah seorang mangsa dalam keadaan serius.

IOF menahan 25 orang Palestin di al-Khalil, termasuk dua adik-beradik, salah seorang daripada mereka bekerja sebagai wartawan, dari rumah mereka selepas menyerang sebahagian daripada mereka, tambah sumber-sumber tersebut.

Di Bethlehem, IOF menahan empat orang Palestin, termasuk dua beradik, salah satunya berusia 15 tahun, selepas menyerbu dan menggeledah rumah mereka.

Di Ramallah, tujuh orang Palestin, termasuk seorang wanita yang sebelum ini ditahan, ditangkap selepas rumah mereka dimasuki dan dirosakkan. Akibatnya, pergolakan berlaku di seluruh Ramallah, menyebabkan kecederaan, yang mana salah satunya kritikal.

Di Jericho, IOF menyerbu bandar al-Oja dan dua khemah pelarian; Aqabat Jabr dan Ain al-Sultan sebelum menahan tiga pemuda, salah seorang daripadanya berusia 19 tahun.
Di Jenin, tiga orang Palestin ditangkap, termasuk bapa seorang bekas tahanan bagi memberi tekanan kepada anak lelakinya untuk menyerah diri. Pergolakan juga meletus setelah tentera IOF menyerbu bandar Jenin dan khemah-khemah pelarian, menyebabkan dua pemuda cedera akibat terkena peluru hidup. Sumber tempatan melaporkan bahawa IOF menempatkan pasukan penembak tepat di atas bumbung beberapa rumah, meminta bantuan tentera dan pasukan khas yang masuk ke dalam kawasan bandar dan perkhemahan dengan membawa sama jentolak yang merobohkan jalan raya serta infrastruktur.

Di Baitulmaqdis, polis Israel menyerbu khemah pelarian Shufat dan menahan 10 orang Palestin. Pasukan tersebut juga menyerbu bandar Abu Dis dan menahan empat wartawan Palestin.

Ini menjadikan jumlah penduduk Tebing Barat yang ditahan sejak 7 Oktober kepada 2,200 orang.

Jumlah keseluruhan tahanan Palestin di penjara Israel telah meningkat kepada 7,000, termasuk 62 tahanan wanita dan 2,070 tahanan pentadbiran.

sumber : https://english.palinfo.com diterjemah oleh Ezatul