Categories
Berita Semasa

Hamas Tuduh Israel Gagal Melaksanakan Protokol Kemanusiaan dalam Perjanjian Gencatan Senjata

Khamis, 06/02/2025 – Pergerakan Hamas menuduh kerajaan penjajah Israel menghalang pelaksanaan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata, serta menggesa para perantara dan penaja perjanjian tersebut, khususnya Mesir dan Qatar, agar segera campur tangan untuk menangani isu ini.

“Penjajah Israel terus mengelak daripada melaksanakan bahagian kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata serta dengan sengaja melambatkan dan menghalang kemasukan bantuan keperluan mendesak, termasuk khemah, rumah pasang siap, bahan bakar, dan peralatan berat bagi membersihkan runtuhan,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qasem, dalam satu kenyataan pada Selasa.

“Apa yang telah dilaksanakan setakat ini jauh lebih rendah daripada tahap minimum yang dipersetujui, mencerminkan kegagalan Israel untuk memenuhi komitmennya terhadap bantuan dan keperluan kemanusiaan,” tambah Qasem.

Beliau turut menegaskan bahawa tentera penjajah Israel telah meninggalkan kemusnahan besar, terutamanya di utara Gaza, serta memusnahkan hampir semua aspek kehidupan di kawasan tersebut. Justeru, bantuan kecemasan adalah komponen utama dalam pelaksanaan perjanjian gencatan senjata.

Sementara itu, Pejabat Media Kerajaan (GMO) Gaza menegaskan bahawa kerajaan Israel dan pentadbiran AS bertanggungjawab sepenuhnya terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Semenanjung Gaza.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, GMO menuduh kerajaan Israel tidak berkomitmen dalam melaksanakan protokol kemanusiaan dalam perjanjian gencatan senjata serta menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan, bekalan kecemasan, dan tempat perlindungan yang sangat diperlukan.

Menurut GMO, di bawah protokol kemanusiaan, Israel sepatutnya membenarkan kemasukan 60,000 rumah mudah alih dan 200,000 khemah bagi menempatkan rakyat Palestin yang kehilangan tempat tinggal akibat serangan Israel.

Perjanjian itu juga menetapkan bahawa 600 trak bantuan dan bahan bakar harus memasuki Gaza setiap hari, termasuk 50 trak yang membawa bahan bakar dan gas, serta bekalan kemanusiaan, perubatan, dan peralatan pertahanan awam yang diperlukan untuk membina semula infrastruktur serta perkhidmatan asas di Gaza.

GMO memberi amaran bahawa keengganan Israel untuk mematuhi syarat perjanjian ini akan membawa kesan yang serius. Oleh itu, GMO menyeru masyarakat antarabangsa serta perantara untuk segera campur tangan bagi memastikan perjanjian ini dilaksanakan sepenuhnya tanpa sebarang sekatan atau syarat tambahan.

Penterjemah : Ezatul