Categories
Berita Semasa

Guterres: Tebing Barat Tidak Boleh Menjadi Seperti Gaza

Khamis, 10/04/2025 – Setiausaha Agung PBB, António Guterres, menyatakan kebimbangan mendalam terhadap keganasan yang kembali meletus di Gaza dan memberi amaran tentang risiko konflik semakin memburuk di Timur Tengah, terutama di Tebing Barat yang diduduki.

“Kemungkinan Tebing Barat menjadi seperti Gaza menjadikan keadaan lebih buruk,” kata Guterres pada Selasa di New York.

Beliau menggesa Israel dan masyarakat antarabangsa untuk menghormati undang-undang antarabangsa:

“Kita mesti berpegang pada prinsip asas. Negara anggota PBB mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa. Jika tidak, mesti ada keadilan dan pertanggungjawaban.”

Mengenai krisis kemanusiaan di Gaza, Guterres berkata:

“Dunia mungkin kehabisan kata-kata untuk menggambarkan keadaan di Gaza, tetapi kita tidak akan lari daripada kebenaran.”

“Keadaan sekarang adalah jalan buntu—melanggar undang-undang antarabangsa dan tidak dapat diterima oleh sejarah.”

Beliau menolak cadangan baharu Israel untuk mengawal penghantaran bantuan ke Gaza, dengan menyatakan ia berisiko “memperketat kawalan dan mengehadkan bantuan hingga ke tahap setiap kalori dan butir tepung.”

Sejak 2 Mac, tiada bantuan dihantar kepada 2.3 juta penduduk Gaza kerana Israel terus menutup sempadan, menghalang kemasukan makanan, bekalan perubatan, dan bahan api.

“Apabila bantuan terhenti, keganasan semakin menjadi-jadi. Gaza kini medan pembunuhan—dan orang awam terperangkap dalam kitaran kematian yang tidak berkesudahan,” tambahnya.

Guterres sekali lagi menyeru gencatan senjata kekal, akses kemanusiaan penuh ke Gaza, dan pembebasan tahanan Israel di sana.

“Dengan sempadan ke Gaza ditutup dan bantuan dihalang, keselamatan hancur dan keupayaan kami untuk menyalurkan bantuan lumpuh,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sebagai kuasa pendudukan, Israel mempunyai kewajipan jelas di bawah undang-undang antarabangsa, termasuk undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia.

“Israel sepatutnya memudahkan program bantuan dan memastikan bekalan makanan, rawatan perubatan, kebersihan, serta kesihatan awam di Gaza,” katanya. “Tetapi semua itu tidak berlaku hari ini.”

Penterjemah : Ezatul