
Isnin, 14/04/2025 – Pasukan penjajah Israel meneruskan perang komprehensif mereka di Semenanjung Gaza, yang bersambung semenjak 22 hari lalu. Ianya susulan tindakan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang membatalkan perjanjian gencatan senjata.
Malangnya, serangan kali ini mendapat sokongan politik dan ketenteraan Amerika serta pengabaian antarabangsa yang belum pernah terjadi sebelum ini.
Mengikut laporan, pasukan penjajah melancarkan berpuluh-puluh serbuan dan melakukan perobohan rumah saban hari. Lebih menyedihkan, kesan daripada halangan kemasukan bekalan makanan asas yang semakin dipertingkat, menyebabkan tahap kebuluran yang dihadapi rakyat Gaza semakin merisaukan.
Pesawat penjajah terus menerus melancarkan serangan udara di Ghazzah termasuk kawasan utara bandar Rafah, selatan Semenanjung Gaza.
Kesannya, Wartawan Ahmed Mansour didapati meninggal dunia akibat kecederaannya selepas tembakan menyasarkan khemah wartawan tersebut berhampiran Kompleks Perubatan Nasser di Khan Yunis, selatan Semenanjung Gaza.
Mangsa lain, iaitu Abdel Nasser Khadra, bekas pemain kelab Al-Ahly Palestin, juga didapati syahid akibat serangan udara yang menyasarkan perhimpunan rakyat di Jalan Al-Nasr, barat Kota Gaza.
Begitu juga beberapa penduduk lain terbunuh dan cedera parah apabila drone Israel mengebom sekumpulan orang awam di kawasan Miraj, utara Rafah, di selatan Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Halimah