
Jumaat, 02/05/2025 – Pejabat Penerangan Banduan mengesahkan bahawa ketua banduannya, Abdullah Barghouti sedang menghadapi percubaan pembunuhan secara sistematik di dalam Penjara Gilbo’ Israel. Keadaan kesihatannya kini dilaporkan telah mencapai tahap sangat kritikal yang boleh mengancam nyawanya.
Menurut maklumat terbaru itu, banduan Abdullah Barghouti sedang dipukul dengan teruk, sehingga badannya dipenuhi lebam-lebam kebiruan, di mana kepalanya juga dipenuhi darah beku, mata bengkak, dan tulang rusuk patah sehingga mengakibatkan gangguan tidur di malam hari.
Menurut laporan itu lagi, unit penyeksaan menyerbu sel diketuai oleh seorang pegawai bernama “Amir” sekaligus memukulnya sehingga beliau kehilangan kira-kira setengah liter darah setiap kali.
Tidak cukup dengan itu, anjing turut dibawa masuk selepas itu untuk memakan tubuh Abdullah yang berlumuran darah, dengan arahan, “bawa anjing masuk supaya mereka boleh berseronok dengannya.” Pasukan penyeksaan juga mencurahkan cecair pencuci pinggan mangkuk panas ke atas badan Abdullah Barghouti selepas setiap pusingan penyeksaan, menambahkan lagi kesakitan terhadap tubuhnya yang kurus kering itu.
Dia turut didera secara mental oleh pegawai itu dengan memberitahunya “Anda pernah menjadi komander, namun hari ini anda bukan siapa-siapa… anda mesti mati,” menurut kenyataan itu.
Pejabat Penerangan Banduan juga mendedahkan bahawa akibat penyeksaan itu, banduan Barghouti berulang kali koma, dengan tangannya dibalut dengan beg sampah dan kotak kertas tandas, untuk merawat dirinya, kerana tidak mempunyai sebarang cara lain.
Dia juga menegaskan bahawa banduan Barghouti tidak dapat tidur seperti biasa dan terpaksa duduk di atas lantai dengan kepala membongkok ke hadapan kerana kesakitan yang teruk. Dia tidak boleh mandi selama 12 hari dan terpaksa merendam roti dalam air dan meminumnya kerana dia tidak boleh mengunyah.
Pejabat Media Banduan menekankan bahawa penyeksaan terhadap ketua banduan, Abdullah Barghouti adalah pembunuhan secara perlahan yang dirancang, dan merupakan pelanggaran terang-terangan terhadap semua norma dan konvensyen antarabangsa. Beliau juga menegaskan bahawa percubaan berterusan penjajah untuk membubarkan pemimpin pergerakan banduan di dalam penjara hanya akan membawa lebih kemarahan dan mencetuskan pergolakan yang besar.
Beliau mengingatkan juga bahawa sikap berdiam diri antarabangsa yang berterusan telah menggalakkan penjajah untuk terus melakukan jenayah ini, sekaligus menjadi contengan arang di wajah mereka yang melaung-laungkan hak kemanusiaan selama ini.
Beliau turut menyeru pertubuhan hak asasi manusia antarabangsa, terutamanya Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah, untuk segera campur tangan bagi melawat banduan Barghouti dan memeriksa keadaannya.
Rayuan turut diajukan supaya siasatan antarabangsa dijalankan segera dimana penjajah wajib bertanggungjawab atas jenayah ini di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa.
Seruan juga disampaikan untuk orang ramai, masyarakat Arab serta mereka yang masih hidup bebas di atas muka bumi ini untuk keluar beramai-ramai menyatakan kemarahan terhadap penindasan banduan-banduan di penjara Israel, memandangkan perjuangan mereka untuk mempertahankan hak mereka adalah sesuatu yang suci.
Penterjemah : Halimah