Categories
Berita Semasa

Serangan Israel terus meragut lebih banyak nyawa di seluruh Gaza.

Isnin, 05/05/2025 – Tentera pendudukan Israel terus melancarkan serangan maut pada malam tadi dan hari Khamis di kawasan berlainan di Semenanjung Gaza, membunuh dan mencederakan berpuluh orang awam.

Menurut sumber media tempatan, tentera rejim Israel hari ini masih meneruskan operasi meletupkan lebih banyak rumah dan memindahkan secara paksa keluarga di Semenanjung Gaza yang menambahkan lagi beban penderitaan kemanusiaan di kalangan rakyat.

Menurut wartawan Pusat Maklumat Palestin (PIC) di Gaza, serangan Israel berterusan merentasi kawasan Semenanjung Gaza, termasuk serangan yang membunuh tiga beradik dan dua lagi rakyat di kawasan ash-Shaashi’ah di timur kem pelarian Jabalia, utara Gaza.

Rejim tentera Israel juga melancarkan serangan udara ke atas khemah yang melindungi sebuah keluarga kehilangan tempat tinggal di kem pelarian An-Nuseirat di tengah Gaza yang turut meragut nyawa empat orang awam, termasuk kanak-kanak.

Mangsa keganasan rejim Israel, termasuk dua orang syahid turut dilaporkan berikutan serangan Israel ke atas perhimpunan orang awam di kawasan Qizan Abu Rashwan di Khan Yunis, selatan Gaza.

Sementara itu, beberapa orang rakyat Gaza disahkan maut selepas mereka meninggal dunia akibat kecederaan yang mereka alami dalam serangan baru-baru ini.

Tentera rejim Israel juga melancarkan serangan ke atas kawasan lain di Semenanjung Gaza malam tadi dan hari ini yang membunuh dan mencederakan lebih ramai orang awam, termasuk kanak-kanak dan wanita.

Penterjemah : Hj Fariz