
Isnin, 05/05/2025 – Ketua Majlis Kepimpinan Hamas, Mohammed Darwish, telah menerima kunjungan rasmi Pemangku Menteri Luar Negeri Emiriah Islam Afghanistan, Tuan Mawlawi Amir Khan Muttaqi, dalam satu pertemuan penting yang berlangsung di Doha.
Turut hadir dalam mesyuarat tersebut ialah beberapa tokoh kanan Majlis Kepimpinan Hamas termasuk Khaled Meshaal, Khalil al-Hayya, Nizar Awadallah, dan Zaher Jabarin.
Pertemuan itu membincangkan situasi terkini berhubung pencerobohan berterusan rejim Israel ke atas Semenanjung Gaza, termasuk tindakan kekejaman bersifat genosid dan penggunaan sekatan makanan sebagai senjata terhadap rakyat Palestin.
Dalam ucapannya, Darwish menzahirkan penghargaan terhadap pengalaman Afghanistan serta sokongan konsisten negara tersebut terhadap perjuangan rakyat Palestin menentang penjajahan Israel. Beliau turut menegaskan komitmen teguh rakyat Palestin terhadap tanah air mereka dan hak-hak yang sah, sambil menekankan bahawa perjuangan akan diteruskan sehingga kebebasan dan kemerdekaan dapat dicapai.
Sementara itu, Muttaqi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi Afghanistan terhadap perjuangan rakyat Palestin, menyifatkannya sebagai “isu teras umat Islam.” Beliau turut menyampaikan penghargaan mendalam atas keteguhan rakyat Palestin yang terus mempertahankan Masjid Al-Aqsa daripada kezaliman.
Penterjemah : Ezatul