
Rabu, 07/05/2025 – Angkatan Bersenjata Yaman mengumumkan, pada petang Ahad, akan mengadakan sekatan udara ke atas entiti penjajah Israel, sebagai tindak balas kepada keputusan Israel untuk meluaskan pencerobohannya di Semenanjung Gaza.
Jurucakap tentera Angkatan Bersenjata Yaman, Yahya Saree, berkata dalam satu kenyataannya di akhbar, bahawa mereka akan berusaha untuk mengenakan sekatan udara menyeluruh ke atas musuh mereka, Israel, dengan menyasarkan serangan ke arah lapangan terbang berulang kali terutamanya lapangan terbang utama mereka di bandar Lod, iaitu Lapangan Terbang Ben Gurion.
Oleh itu, Saree menyeru dalam kenyataan itu juga agar semua syarikat penerbangan antarabangsa mengambil kira kenyataan itu, sekaligus membatalkan semua penerbangan menuju lapangan terbang penjenayah Israel, supaya dapat memelihara keselamatan pesawat dan pelanggan mereka.
Dalam situasi yang lain iaitu awal pagi Ahad yang lalu, lapan warga Israel cedera akibat terkena serpihan peluru berpandu Yaman yang mendarat berhampiran Lapangan Terbang Ben Gurion di bandar Lod yang dijajah. Peluru berpandu itu juga menyebabkan syarikat penerbangan antarabangsa membatalkan penerbangan ke Tel Aviv hari ini.
Dalam satu kenyataan berasingan, tentera Yaman turut mengaku bertanggungjawab menyasarkan Lapangan Terbang Ben Gurion dengan peluru berpandu balistik hipersonik yang disifatkan sebagai “berjaya mengenai sasarannya”, sekaligus mengesahkan kegagalan sistem pertahanan Amerika dan Israel untuk memintas peluru berpandu.
Penterjemah : Halimah