
Jumaat, 09/05/2025 – Pada hari Selasa, Majlis Perbandaran Jabalia Al-Nazla memberi amaran tentang isu pengumpulan sisa sampah yang semakin meningkat di juridiksinya, dengan pasukannya tidak dapat mengumpul dan melupuskannya dengan baik di tengah situasi teruk yang berterusan di Semenanjung Gaza. Ia menimbulkan kebimbangan terhadap kesihatan awam dan bencana alam sekitar yang bakal berlaku.
Dalam satu kenyataan akhbar, pihak Majlis Perbandaran berkata: “Pekerja kami tidak dapat mengumpul dan membuang sisa sampah seperti yang diperlukan kerana tapak pelupusan sampah utama terletak di kawasan yang kini dikawal oleh tentera rejim Israel.”
Ia menambah, akibatnya pekerja kami terpaksa menggunakan tapak pelupusan sementara yang dibuat secara tidak terancang, dengan keadaan bertambah parah akibat kemusnahan lebih daripada 90% aset kenderaan dan peralatan perbandaran disebabkan oleh serangan udara berulang tentera rejim Israel ke atas kemudahan dan depot perbandaran, terutamanya kerana serangan yang disengajakan pada 22 April 2025.
Pihak perbandaran menjelaskan bahawa krisis sisa sampah yang semakin meningkat kini menimbulkan ancaman besar kepada bencana kesihatan dan alam sekitar yang akan menimpa Jabalia, terutamanya memandangkan sistem perkhidmatan kesihatan Gaza yang semakin lemah dan sudah rapuh akibat serangan berterusan dan sekatan yang menghalang kemasukan bekalan perubatan penting. Pihak perbandaran menyeru semua pertubuhan antarabangsa dan kemanusiaan untuk segera campur tangan, berikan tekanan untuk menamatkan pencerobohan dan memudahkan kemasukan jentera dan peralatan yang diperlukan, bagi mengelak bencana yang semakin menimpa dan meringankan penderitaan penduduk Jabalia dan Semenanjung Gaza secara umumnya.
Penterjemah : Hj Fariz