Categories
Berita Semasa

Rejim Zionis Roboh Rumah Di Kem Nur Shams

Jumaat, 09/05/2025 – Pada Selasa, jentolak Israel mula merobohkan beberapa bangunan kediaman di kem pelarian Nur Shams, timur bandar Tulkarem, di utara Tebing Barat yang diduduki.

Sumber tempatan melaporkan perobohan bermula sekitar tengah hari, menyasarkan beberapa rumah bertingkat di kawasan Al-Manshiya dalam kem tersebut.

Pasukan Pendudukan Israel (IOF) sebelum ini mengumumkan rancangan untuk merobohkan 106 struktur milik rakyat Palestin di kem Tulkarem dan Nur Shams. Pihak mereka turut mengedarkan peta, menanda rumah sasaran dengan warna merah.

Akibat operasi ini, lebih 4,200 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman, melibatkan lebih 25,000 penduduk. Sebanyak 396 rumah musnah sepenuhnya dan 2,573 lagi rosak sebahagian. Laluan masuk dan lorong dalam kem ditimbus tanah, menyekat pergerakan.

Bandar Tulkarem kini dipenuhi kenderaan tentera dan rondaan IOF, menjejaskan kehidupan harian penduduk, terutama di Dataran Jamal Abdel Nasser, Bulatan Syahid Thabet Thabet, Jalan Nablus dan Bulatan Shweika.

Tentera turut menggunakan peluru hidup dan bom gegaran, serta menyerbu rumah dan kedai. Penduduk berdepan soal siasat, penderaan dan penahanan tanpa sebab.

IOF juga merampas rumah dan bangunan di sepanjang Jalan Nablus dan kawasan kejiranan utara, mengusir penduduk dan menukar bangunan itu menjadi pos kawalan tentera. Jentolak dan kenderaan bersenjata ditempatkan di kawasan sekitar.

Penterjemah : Ezatul