
Khamis, 15/05/2025 – Pesuruhjaya Agung Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menegaskan bahawa tindakan Israel yang menjadikan makanan dan bantuan kemanusiaan sebagai senjata dalam serangan terhadap Gaza merupakan satu jenayah perang yang nyata dan tidak boleh didiamkan.
Dalam satu kenyataan rasmi pada hari Selasa, Lazzarini menyatakan bahawa selama 19 bulan kebelakangan ini — lebih-lebih lagi dalam minggu-minggu terakhir — telah berlaku penyalahgunaan bekalan makanan dan bantuan kemanusiaan secara disengajakan untuk mencapai matlamat politik dan ketenteraan ke atas penduduk awam Palestin.
“Mahkamah antarabangsa akan membuat keputusan akhirnya, tetapi apa yang sedang berlaku di lapangan jelas membuktikan penggunaan kebuluran secara sistematik sebagai alat tekanan tidak berperikemanusiaan,” katanya.
Lazzarini menggambarkan penderitaan rakyat Palestin di Gaza sebagai sesuatu yang di luar kemampuan bahasa untuk digambarkan.
“Saya tidak mampu menemukan kata-kata yang cukup untuk merumuskan kesengsaraan yang dialami. Kelaparan semakin merebak. Penduduk keletihan dan kebuluran. Jika tiada tindakan segera, mereka mungkin tidak mati akibat pengeboman — tetapi akibat kelaparan,” ujarnya lagi.
Beliau turut merujuk laporan-laporan antarabangsa, termasuk Integrated Food Security Phase Classification (IPC), yang menyatakan bahawa Gaza kini berada di ambang kebuluran. Lebih dua juta penduduk — dengan hampir separuh daripadanya adalah kanak-kanak — sedang menghadapi krisis kekurangan makanan yang amat serius akibat sekatan berterusan Israel.
Dalam amaran yang jelas kepada masyarakat antarabangsa, Lazzarini menyeru tindakan segera dan berkesan untuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan tanpa halangan ke Gaza. Beliau memberi peringatan bahawa kegagalan untuk bertindak hanya akan mempercepatkan berlakunya bencana kemanusiaan yang belum pernah disaksikan sebelum ini.
Penterjemah : Ezatul