
Isnin, 23/06/2025 – Dengan pelancaran pencerobohannya terhadap Iran beberapa hari lalu, pihak berkuasa pendudukan telah mengubah Tebing Barat yang diduduki menjadi penjara yang luas, mengenakan sekatan yang teruk terhadap pergerakan warga Palestin. Mereka telah menutup jalan-jalan utama, menyebabkan kehidupan mereka hampir terhenti dan memburukkan lagi penderitaan mereka.
Untuk hari kelima berturut-turut, tentera pendudukan Israel terus mengetatkan langkah ketenteraannya di pintu masuk dan keluar wilayah Tebing Barat, dalam satu langkah yang disifatkan oleh Mu’ayyad Shaaban, ketua Suruhanjaya Penentangan Tembok dan Penempatan, sebagai “hukuman kolektif sistematik” yang bertujuan untuk menjejaskan kehidupan awam dan melumpuhkan pergerakan antara kampung dan bandar.
Shaaban menegaskan kepada Anadolu Agency bahawa sistem penutupan Israel mewakili pencabulan hak asasi yang dijamin kepada rakyat Palestin, terutamanya kebebasan bergerak dan akses kepada rawatan perubatan.
Beliau menegaskan bahawa pihak berkuasa pendudukan yang sengaja menutup jalan kepada pemilik tanah Palestin, sambil memastikan jalan itu terbuka kepada peneroka, “lebih mengukuhkan rejim apartheid.” Beliau menjelaskan bahawa bilangan pusat pemeriksaan, pintu pagar, dan halangan tentera telah melebihi 898, pelbagai jenis dan klasifikasi, yang kebanyakannya tertutup kepada rakyat Palestin.
Pengetatan penutupan Israel di Tebing Barat bertepatan dengan perang pemusnahan yang berterusan di Semenanjung Gaza dan pelancaran pencerobohan terang-terangan terhadap Iran, sebahagian daripada dasar Israel yang telah lama menggunakan peningkatan keselamatan dan ketenteraan sebagai alasan untuk mengenakan sekatan selanjutnya ke atas rakyat Palestin.
Sejak meletusnya perang pemusnahan di Gaza pada 7 Oktober 2023, tentera pendudukan dan penerokanya telah meningkatkan serangan mereka di Tebing Barat, mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 978 rakyat Palestin, kecederaan hampir 7,000 yang lain, dan penahanan lebih 17,500, menurut data Palestin.
Penterjemah : Juhari