Categories
Berita Semasa

Lapan Negara Eropah Tolak Rancangan Penjajahan Gaza oleh Israel

Khamis, 14/08/2025 – Lapan negara Eropah — Iceland, Ireland, Luxembourg, Malta, Norway, Portugal, Slovenia dan Sepanyol — mengeluarkan kenyataan bersama mengutuk rancangan kerajaan Israel untuk memperhebat serangan ke atas Gaza dan menduduki Bandar Gaza. Mereka memberi amaran bahawa langkah itu akan memburukkan krisis kemanusiaan dan melanggar undang-undang antarabangsa dengan mengubah demografi wilayah Palestin yang diduduki.

Negara-negara ini menegaskan bahawa Gaza adalah sebahagian daripada Negara Palestin, bersama Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, serta amaran bahawa pendudukan Bandar Gaza akan menjadi halangan besar kepada penyelesaian dua negara. Pesuruhjaya Kesamarataan dan Pengurusan Krisis EU, Hadja Lahbib, turut menuntut gencatan senjata segera, pembebasan semua tebusan, dan penghantaran bantuan kemanusiaan berskala besar.

Sebelum ini, sembilan negara Barat termasuk Jerman, UK, Itali, Australia, New Zealand, Austria, Perancis, Kanada, dan Norway juga mengecam peluasan perang di Gaza. Mereka memberi amaran terhadap pengusiran paksa dan perampasan tanah yang jelas melanggar undang-undang antarabangsa.

Sejak Oktober 2023, tentera Israel dengan sokongan Amerika Syarikat telah melancarkan perang genosid di Gaza, mengorbankan lebih 61,000 rakyat Palestin, mencederakan lebih 153,000 orang, dan memaksa hampir seluruh penduduk menjadi pelarian, di tengah kemusnahan yang disifatkan PBB sebagai terburuk sejak Perang Dunia Kedua.

Penterjemah : Ezatul