
Khamis, 14/08/2025 – Menteri Perang Israel Yisrael Katz mengumumkan pada hari Ahad bahawa pasukan pendudukan Israel akan kekal di kem pelarian Palestin di Tebing Barat belah utara sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun ini.
Dalam satu kenyataan, Katz mendakwa bahawa “kem pelarian di Jenin, Tulkarem, dan Nur Shams adalah pusat keganasan yang dibiayai, dipersenjatai, dan diarah oleh Iran sebagai satu lagi barisan hadapan yang menentang Israel dan pusat militan menjalankan operasi bersenjata terhadap tentera Israel.”
Beliau menambah, “berikutan lawatan lapangan dan pertemuan saya dengan pegawai dan askar, saya mengarahkan tentera untuk menukar polisi mereka.”
Katz menjelaskan bahawa tentera Israel telah melancarkan serangan yang agresif ke atas kem pelarian dengan “mengosongkan penduduk, menghapuskan pengganas, membongkar dan merobohkan infrastruktur pengganas dan tentera Israel akan kekal di kem pada peringkat ini di bawah arahan saya sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun.”
Beliau selanjutnya mendakwa, “tiada keganasan di kem-kem sekarang ini dan jumlah amaran keganasan di Judea dan Samaria (Tebing Barat) telah menurun sebanyak 80%.” Ini adalah model yang sesuai untuk memerangi keganasan dengan menyerangnya dan mengejarnya di Judea dan Samaria, Gaza, dan di mana-mana sahaja.”
Di samping pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza, pasukan pendudukan dan peneroka haram Israel di Tebing Barat telah membunuh tidak kurang daripada 1,014 rakyat Palestin dan mencederakan kira-kira 7,000 yang lain, selain menahan lebih daripada 18,500 sejak Oktober 2023, menurut data Palestin.
Sejak 7 Oktober 2023, Israel dengan sokongan AS telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang melibatkan pembunuhan, kebuluran, kemusnahan, dan pemindahan massa serta mengabaikan semua gesaan antarabangsa dan perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikannya. Genosid itu telah menyebabkan 61,369 rakyat Palestin terbunuh dan 152,862 cedera, kebanyakannya kanak-kanak dan wanita, serta lebih 9,000 hilang, selain ratusan ribu yang kehilangan tempat tinggal dan kebuluran yang telah meragut banyak nyawa.
Penterjemah : Hj Fariz