
Jumaat, 17/10/2025 – Mesir menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak Keamanan Sharm el-Sheikh pada hari Isnin lepas. Sidang kemuncak tersebut telah dipengerusikan secara bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dan Presiden AS Donald Trump, sebagai sebahagian daripada inisiatif bersama untuk menamatkan perang pembunuhan genosid Israel ke atas Gaza dan melancarkan proses politik yang komprehensif untuk mencapai keamanan berkekalan di Timur Tengah.
Sidang kemuncak itu turut menyaksikan penyertaan daripada ketua negara dan kerajaan yang mewakili Jordan, Qatar, Kuwait, Bahrain, Türkiye, Indonesia, Azerbaijan, Perancis, Cyprus, Jerman, United Kingdom, Itali, Sepanyol, Greece, Armenia, Hungary, Pakistan, Kanada, Norway, Iraq, UAE, Oman, Arab Saudi, Jepun, Belanda, Paraguay dan India.
Turut hadir ialah Setiausaha Agung PBB, Setiausaha Agung Liga Arab, Presiden Majlis Eropah, Presiden FIFA, dan bekas perdana menteri UK.
Fokus utama perbincangan adalah untuk memberi sokongan kepada Perjanjian Sharm el-Sheikh yang dicapai pada 9 Oktober 2025 lalu melalui pengantaraan oleh Mesir, AS, Qatar dan Türkiye untuk menamatkan pembunuhan genosid di Gaza.
Para pemimpin menekankan pengukuhan kerjasama antarabangsa untuk memastikan pelaksanaan perjanjian itu, termasuk gencatan senjata penuh, pertukaran tahanan, penarikan pasukan pendudukan Israel (IOF), dan kemasukan tanpa halangan bantuan kemanusiaan ke Gaza.
Sidang kemuncak itu diakhiri dengan penandatangan dokumen bersama oleh negara pengantara yang mengesahkan komitmen mereka terhadap perjanjian itu.
Para peserta juga meminta perundingan pada fasa seterusnya dalam perancangan halatuju politik Trump dimulakan untuk Gaza, meliputi isu berkaitan tadbir urus, keselamatan, dan pembinaan semula, membuka jalan ke arah penyelesaian politik yang adil dan menyeluruh.
Mesir menegaskan bahawa kehadiran peserta di peringkat tinggi mencerminkan konsensus antarabangsa yang jelas memihak kepada menamatkan perang disamping mengesahkan kerjasama berterusan dengan rakan serantau dan global untuk menutup babak yang menyakitkan dan menyedihkan dalam sejarah rantau ini.
Kaherah juga berjanji untuk mengekalkan momentum diplomatik baharu yang muncul daripada “Kota Keamanan,” Sharm el-Sheikh, dan terus berusaha menangani punca ketidakstabilan serantau, terutamanya ketiadaan penyelesaian yang adil dan saksama kepada persoalan Palestin.
Sementara itu, Briged Al-Qassam, sayap bersenjata Hamas, mengumumkan penyerahan mayat empat tawanan Israel dan pembebasan 20 tawanan yang masih hidup kepada Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) sebagai sebahagian daripada pertukaran banduan “Taufan Al-Aqsa”.
IOF mengesahkan menerima dua mayat tawanan dan berkata ia akan menerima dua lagi mayat pada hari itu. Di Tebing Barat pula, 1,986 tahanan Palestin telah dibebaskan dari penjara Israel di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata dan termasuk penarikan IOF daripada Gaza secara beransur-ansur serta akses kemanusiaan segera ke Semenanjung Gaza.
Penterjemah : Hj Fariz