Categories
Berita Semasa

Hamas: Usaha Israel Meluluskan Undang-undang Hukuman Mati Banduan Mewajarkan Pembunuhan Sistematik di Dalam Pusat Tahanan

Selasa, 25/11/2025 – Beberapa pertubuhan politik dan hak asasi Palestin memberi amaran pada Khamis bahawa langkah Israel membahaskan cadangan “undang-undang hukuman mati banduan” merupakan tindakan berbahaya yang boleh memformalkan pembunuhan sistematik di pusat tahanannya. Langkah ini, menurut mereka, berpotensi menjadikan penjara sebagai medan pelupusan rakyat Palestin atas nama undang-undang.

Mahmoud Mardawi, salah seorang pegawai kanan Hamas, menyatakan bahawa inisiatif yang digerakkan oleh blok pelampau kanan dalam gabungan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu itu merupakan “bentuk baharu pertumpahan darah yang dihalalkan,” sekali gus melanggar undang-undang kemanusiaan antarabangsa secara terang-terangan. Menurutnya, jika undang-undang tersebut diluluskan, Israel akan memperoleh perlindungan undang-undang untuk melakukan pembunuhan secara langsung terhadap tahanan Palestin — setelah sekian lama menggunakan bentuk “kematian perlahan” melalui penyeksaan, pengabaian perubatan, serta pelucutan keperluan asas secara sengaja.

Mardawi menegaskan bahawa masyarakat antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa harus bertanggungjawab terhadap akibat daripada apa yang beliau sifatkan sebagai peningkatan tindakan tidak sah yang amat berbahaya. Beliau berpendapat bahawa sikap berdiam diri dunia terhadap pelanggaran hak tahanan Palestin selama ini telah menguatkan keberanian Israel untuk menggerakkan undang-undang yang boleh menghalalkan pembunuhan di luar proses undang-undang.

Dalam pada itu, Pejabat Media Asra (AMO) turut menyuarakan kebimbangan mendalam, dengan menyatakan bahawa penggubalan undang-undang tersebut akan menjadikan sistem kehakiman Israel yang sedia berat sebelah berubah menjadi “alat politik untuk membalas dendam.” Kebimbangan itu bertambah apabila terdapat perancangan untuk melaksanakan undang-undang ini di mahkamah tentera Tebing Barat melalui keputusan majoriti ringkas oleh hakim. Perubahan sedemikian, menurut AMO, akan mengancam nyawa ribuan tahanan Palestin serta meningkatkan lagi pelanggaran sistematik di dalam penjara.

Baik Hamas mahupun AMO menyeru tindakan antarabangsa yang segera dan tegas bagi menggagalkan usaha meluluskan undang-undang tersebut, menghalang ia daripada menjadi alat baharu pembunuhan yang disahkan negara, serta memastikan perlindungan sebenar buat para tahanan Palestin yang terus berdepan penyalahgunaan, dasar penindasan, dan pencabulan hak secara terancang di penjara Israel.

Penterjemah : Ezatul