
Selasa, 25/11/2025 – Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pendirian negaranya dalam isu Palestin adalah tegas dan tidak boleh dirunding. Beliau menekankan bahawa sebarang perjanjian yang tidak menjamin hak penuh rakyat Palestin tidak akan mampan.
Anwar Ibrahim menyatakan dalam sidang media tersebut bahawa masyarakat antarabangsa wajib mengambil sikap jelas yang mendedahkan sifat sebenar rancangan yang menyasarkan rakyat Palestin. Beliau menegaskan bahawa menamatkan pencerobohan Israel dan menghentikan aktiviti penempatan di Tebing Barat adalah syarat penting untuk sebarang penyelesaian yang adil dan berkekalan.
Anwar Ibrahim menambah bahawa beliau menyampaikan kedudukan ini terus kepada Presiden AS iaitu Donald Trump, menurut Al Jazeera.
Jelas beliau lagi, Malaysia percaya penubuhan sebuah negara Palestin merdeka dalam sempadan 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, adalah satu-satunya cara untuk menamatkan penderitaan rakyat Palestin dan mencapai keamanan sebenar di rantau itu.
Sekilas fakta, sejak 7 Oktober 2023, pasukan penjajah, dengan sokongan Amerika dan Eropah, telah melakukan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza, termasuk pembunuhan, kebuluran, pemusnahan, pemindahan dan penangkapan sekaligus mengabaikan rayuan dan perintah antarabangsa dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk menghentikan tindakan ini.
Pembunuhan beramai-ramai menyebabkan lebih 239,000 rakyat Palestin mati atau cedera, iaitu dengan kebanyakannya adalah kanak-kanak dan wanita. Manakala lebih 11,000 mangsa dilaporkan hilang, selain ratusan ribu yang lain kehilangan tempat tinggal. Memburukkan keadaan lagi, kebuluran yang teruk turut menyerang yang meragut nyawa ramai di mana kebanyakannya adalah kanak-kanak.
Penterjemah : Halimah