
Jumaat, 09/01/2026 – Tiga rakyat Palestin terbunuh pada Ahad, termasuk seorang nelayan manakala seorang yang lain cedera akibat tembakan tentera penjajah Israel sekaligus menjadi tanda pelanggaran perjanjian gencatan senjata yang berterusan di Semenanjung Gaza.
Wartawan melaporkan bahawa salah seorang mangsa, seorang pemuda, Alaa al-Din Muhammad Zuhair Asraf (15 tahun), telah dibunuh oleh pasukan penjajah Israel di Jort al-Lut, selatan Khan Younis.
Dalam kenyataan lain pula, Kesatuan Jawatankuasa Nelayan di Gaza melaporkan bahawa nelayan, Abdul Rahman Abdul Hadi al-Qan terbunuh, manakala saudaranya, nelayan Yamen Khalil al-Qan cedera, akibat tembakan tentera Israel di kawasan Fash Farsh, selatan Semenanjung Gaza.
Dalam masa yang sama, mangsa lain, Fadi Najib Salah meninggal dunia selepas ditembak oleh pasukan penjajah Israel di kawasan Mawasi di Khan Younis, di selatan Semenanjung Gaza. Sebagai info, kawasan ini merupakan kawasan yang telah mengalami serangan berterusan sebelumnya.
Awal pagi Ahad yang lalu juga, pesawat pejuang Israel dilihat meningkatkan pencerobohan mereka dengan melancarkan serangan udara sengit yang menyasarkan bandar Khan Younis dan Gaza, diikuti serangan artileri yang juga diperhebat oleh tentera Israel.
Wartawan juga melaporkan bahawa pesawat penjajah mengebom kawasan timur Khan Younis di selatan Semenanjung Gaza pada waktu subuh.
Menurut keterangan, kawasan timur dan selatan Khan Younis menyaksikan serangan kereta kebal berterusan, dengan peluru mengenai khemah pelarian berhampiran tanah perkuburan Austria di barat bandar itu.
Dalam situasi yang sama, kereta kebal Israel turut menyasarkan kawasan timur Khan Younis dengan tembakan artileri berat, sebagai operasi pencerobohan tentera Israel di kawasan itu.Sementara itu di selatan semenanjung Gaza, pesawat penjajah Israel terus melancarkan serangan udara ke atas bandar Rafah sebagai sebahagian daripada peningkatan serangan yang berterusan.
Wartawan turut melaporkan bahawa kenderaan tentera Israel melepaskan tembakan di timur kem pelarian Bureij di tengah Semenanjung Gaza. Di Gaza City pula, pesawat penjajah Israel menyerang kawasan timur, manakala kenderaan tentera Israel memperbaharui serangan di timur kem pelarian Bureij di wilayah tengah.Akibatnya tiga rakyat Palestin, termasuk dua kanak-kanak terbunuh semalam, dan 17 yang lain cedera, akibat serangan pelbagai kawasan oleh tentera Israel di Semenanjung Gaza. Peningkatan serangan ini berlaku apabila tentera Israel terus melanggar perjanjian gencatan senjata di Gaza, yang telah berkuat kuasa sejak 10 Oktober.
Penterjemah : Halimah