Categories
Berita Semasa

UNRWA: Keperluan Kemanusiaan di Gaza Melebihi Sumber yang Ada

Jumaat, 27/02/2026 – Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin (UNRWA) pada hari Khamis memberi amaran bahawa keadaan kemanusiaan di Semenanjung Gaza terus merosot berikutan sekatan berterusan terhadap akses bantuan, sambil menegaskan bahawa skala keperluan jauh melebihi kemampuan semasa agensi itu.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi X, agensi PBB itu memaklumkan bahawa keadaan di Gaza kekal amat kritikal. UNRWA menyatakan bahawa pihaknya terus menyalurkan perkhidmatan penting kepada penduduk yang kehilangan tempat tinggal, termasuk penjagaan kesihatan, pendidikan, perlindungan, bantuan makanan dan penyediaan tempat perlindungan melalui rangkaian operasinya di seluruh wilayah tersebut.

UNRWA menekankan bahawa sekatan terhadap akses kemanusiaan mengehadkan keupayaannya untuk memperluas respons bantuan, dan menyeru agar kekangan tersebut ditarik balik supaya keperluan penduduk yang semakin meningkat dapat dipenuhi.

Agensi itu turut menyatakan bahawa penerusan sekatan tersebut, bersama pertambahan keperluan kemanusiaan, memburukkan lagi penderitaan orang awam serta menjejaskan usaha memastikan perkhidmatan asas dapat diteruskan.

UNRWA kekal sebagai agensi utama PBB yang bertanggungjawab menyediakan perkhidmatan kepada jutaan pelarian Palestin di lima kawasan operasinya, termasuk Gaza, di mana sebahagian besar penduduk bergantung kepada sokongannya.

Di Gaza, UNRWA mengendalikan rangkaian luas sekolah, pusat kesihatan dan pusat pengagihan bantuan, selain memainkan peranan penting dalam menguruskan pusat perlindungan bagi penduduk yang dipindahkan ketika konflik, sekali gus menjadi tunjang utama dalam respons kemanusiaan.

Sejak tercetusnya konflik besar di Gaza, UNRWA berdepan cabaran yang semakin meningkat berkaitan akses kemanusiaan dan kemasukan bekalan susulan sekatan yang dikenakan oleh Israel terhadap lintasan sempadan, lori serta bahan keperluan asas termasuk bahan api dan bekalan perubatan.

Agensi itu menjelaskan bahawa kekangan tersebut menghalang usaha memperluas operasi dan memberi respons secara berkesan terhadap keperluan yang semakin mendesak.

UNRWA juga berdepan tekanan politik dan kewangan yang berterusan, yang menjejaskan kelangsungan perkhidmatannya pada ketika anggaran PBB menunjukkan majoriti penduduk Gaza kini bergantung kepada bantuan kemanusiaan untuk memenuhi keperluan asas, di tengah kemusnahan infrastruktur yang meluas serta kekurangan serius bekalan makanan, air dan perkhidmatan kesihatan.

Sejak Mac 2025, pihak berkuasa Israel telah menghalang penghantaran bantuan UNRWA daripada memasuki Gaza, menyebabkan bekalan bantuan terkandas di Mesir dan Jordan.

Penterjemah : Ezatul