
Jumaat, 06/03/2026 – Pasukan pendudukan Israel memperluaskan serbuan dan pencerobohan mereka di bandar-bandar dan pekan-pekan Tebing Barat pada hari Isnin, menyebabkan kecederaan dan tangkapan, dan menjadikan rumah-rumah sebagai berek tentera, dalam peningkatan yang menjejaskan Nablus, Jenin, Hebron, Bethlehem dan Salfit.
Di Nablus, dua pemuda ditembak di paha dengan peluru hidup semasa serbuan di kem pelarian Old Askar di timur bandar pada waktu subuh hari ini. Mereka dibawa ke hospital untuk rawatan. Yang lain cedera dalam serangan itu, termasuk wartawan Mahmoud Fawzi, yang ditahan selama beberapa jam. Pasukan Israel menyerbu dan menggeledah beberapa rumah di kem itu, menggeledah isinya, dan menjalankan siasatan lapangan selepas menahan penduduk.
Di selatan Jenin, pasukan pendudukan Israel meneruskan serbuan mereka ke bandar Ya’bad sejak subuh, merampas rumah tiga tingkat Mahmoud Issa Atatra dan mengubahnya menjadi pos tentera selepas menahan penduduknya di tingkat satu. Mereka juga mengerahkan penembak tepat di rumah Saeed Abu Bakr, menahan keluarganya di dalam, sementara kenderaan berperisai jenis “Eitan” dikerahkan di sekitar bandar. Rumah Nazmi Asfour Abu Bakr, yang menempatkan enam keluarga, juga diserbu, dengan penduduk dikurung di satu tingkat sementara tentera menduduki tingkat yang lain.
Dalam perkembangan berkaitan, pasukan pendudukan Israel telah mendirikan pusat pemeriksaan tentera di jalan Jenin-Nablus berhampiran pintu masuk ke bandar Ajja dan Jaba’, menghalang lalu lintas dan memeriksa kad pengenalan rakyat Palestin. Sementara itu, jentolak Israel dan jentera berat lain terus menurap jalan di bawah tapak “Tarsala” antara Jaba’ dan Ajja, susulan kelulusan kerajaan Israel untuk peneroka kembali ke kawasan tersebut.
Penterjemah : Juhari