
Isnin, 09/03/2026 – Pemimpin kumpulan Ansarullah di Yaman, Abdul-Malik al-Houthi, menegaskan bahawa kumpulan itu memantau dengan teliti perkembangan pertempuran dan pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran serta menekankan bahawa “pejuang kami sentiasa dalam keadaan bersedia.”
Dalam ucapan yang disampaikan pada petang Khamis itu, al-Houthi menyatakan bahawa pendirian rasmi Yaman adalah dengan memberikan sokongan penuh dan solidariti ke atas Republik Islam Iran dan rakyat Iran yang beragama Islam.
Tambahnya lagi, Amerika dan Israel adalah penindas pada zaman ini, kerana sengaja menyasarkan negara Islam dengan menghimpun semua kekuatan kekufuran, kemusyrikan, dan kemunafikan bersamanya.
Beliau turut menegaskan dalam kenyataan tersebut bahawa di zaman ini, mereka secara terang-terangan
melakukan pencerobohan yang kejam terhadap Palestin, Lubnan, serta pencabulan berterusan di Syria. Ini termasuk apa yang telah mereka lakukan ke atas Yaman, dan kini kemuncaknya jenayah mereka terhadap Republik Islam Iran.
Al-Houthi juga mengingatkan kebetulan berlakunya peristiwa semasa yang bersamaan dengan ulang tahun Perang Badar. Peristiwa bersejarah yang boleh memberi inspirasi serta diperlukan oleh umat memandangkan bahaya yang sedang dihadapi ketika ini.
Beliau turut mengingatkan bahawa pengajaran paling penting bagi negara Islam ialah supaya menjadi negara yang bebas dan merdeka berdasarkan identiti Islamnya dan hubungannya dengan Islam.
Beliau membayangkan bahawa Amerika Syarikat datang dari hujung bumi ke negara Islam, hanya untuk membawa bersamanya pencerobohan dan ketidakadilan sama seperti Zionis di Palestin.
Pemimpin kumpulan Ansarullah itu juga menegaskan bahawa pencerobohan Amerika-Israel terhadap Iran bertujuan untuk mengawal Timur Tengah dan sebagai penjajahan di rantau itu. Hal ini berdasarkan kenyataan bahawa para pemimpin Amerika Syarikat dan Israel bercakap secara terbuka tentang rancangan untuk mengubah Timur Tengah dengan memperkasakan “Israel Raya.”
Penterjemah : Halimah