
Isnin, 09/03/2026 – Pasukan pencerboh rejim Zionis Israel (IOF) memaklumkan pentadbiran Masjid Ibrahimi di al-Khalil pada hari Khamis bahawa tapak tersebut akan dibuka semula kepada jemaah bermula pada waktu solat subuh pada hari Jumaat, susulan penutupan selama enam hari yang dikenakan di bawah apa yang digambarkan oleh tentera Israel sebagai “keadaan keselamatan semasa.”
Di bawah keputusan itu, para jemaah hanya dibenarkan masuk dalam bilangan yang terhad, sementara sekatan sedia ada ke atas akses ke tapak keagamaan akan kekal berkuat kuasa.
Sejak beberapa hari lalu, pasukan rejim Zionis Israel telah menutup sepenuhnya Masjid Ibrahimi dan menghalang jemaah daripada masuk, dengan alasan apa yang mereka sifatkan sebagai “meningkatkan tahap keselamatan di kawasan itu.” Penutupan itu mencetuskan kekecewaan meluas dalam kalangan umat Islam Palestin, terutamanya kerana ia bertepatan dengan bulan suci Ramadan.
Penterjemah : Hairul