
Selasa, 14/04/2026 – Pihak Berkuasa Air Palestin dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Ekspatriat telah mengeluarkan rayuan antarabangsa segera kepada pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia dan hak wanita, bersama beberapa badan antarabangsa, memberi amaran tentang krisis air dan sanitasi yang belum pernah terjadi sebelumnya di wilayah yang dijajah, terutamanya di Semenanjung Gaza.
Rayuan mereka, yang dikeluarkan pada hari Selasa, menggariskan bahawa situasi di wilayah Palestin telah melangkaui sekadar krisis perkhidmatan, menjadi corak sistematik “kekurangan air” yang bersamaan dengan apa yang mereka sifatkan sebagai “kebuluran air”, akibat daripada dasar Zionis dan penyasaran sistematik terhadap infrastruktur air.
Rayuan itu menggambarkan dasar kekurangan air yang dilaksanakan oleh Zionis di wilayah yang dijajah sebagai “pelanggaran berat undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan hak asasi manusia.”
“Pengeboman berulang kali terhadap sistem air dan sanitasi serta kemusnahan kemudahan penting di Gaza telah mewujudkan realiti kemanusiaan yang mengerikan, mengancam nyawa orang awam dan menjejaskan hak mereka untuk mendapatkan air yang selamat,” kata rayuan itu.
Menurut angka yang dipetik dalam rayuan itu, kira-kira 2.7 juta wanita dan kanak-kanak perempuan di Palestin mengalami kekurangan bekalan air.
“Lebih daripada satu juta wanita dan kanak-kanak perempuan di Tebing Barat, termasuk timur Baitulmaqdis, tidak dapat memenuhi keperluan air minimum harian mereka, manakala wanita di Semenanjung Gaza menghadapi keadaan yang lebih keras, dengan tahap akses jatuh di bawah piawaian kelangsungan hidup air yang diiktiraf di peringkat antarabangsa,” jelas pihak berkuasa air dan kementerian itu.
Penterjemah : Ameen