
Rabu, 07/10/2026 – Pusat Media Palestin Eropah (EPAL) telah mendokumentasikan lebih 68,000 demonstrasi dan acara pro-Palestin di 818 bandar di 30 negara Eropah dalam tempoh tiga tahun dari Oktober 2023 hingga Oktober 2026, di tengah-tengah perang berterusan Israel ke atas Semenanjung Gaza dan Tebing Barat yang dijajah.
Melalui pemantauan dan pendokumentasian lapangan serta digital yang dijalankan dengan kerjasama institusi dan persatuan Palestin yang beroperasi di seluruh Eropah, pusat itu merekodkan 68,162 acara dalam tempoh tiga tahun tersebut, termasuk 53,480 acara secara bersemuka dan 14,682 aktiviti digital.
Menurut data yang didokumentasikan, gerakan itu telah merebak ke 818 bandar di Eropah, melangkaui ibu negara dan pusat politik utama sehingga ke bandar-bandar dan pekan-pekan di seluruh benua, mencerminkan skala dan kesinambungan mobilisasi pro-Palestin sepanjang tiga tahun yang lalu.
Itali merekodkan jumlah acara bersemuka tertinggi, dengan 8,558 demonstrasi dan aktiviti di 188 bandar, diikuti Jerman dengan 7,839 acara di 141 bandar, Sepanyol dengan 6,779 acara di 134 bandar, dan Perancis dengan 5,977 acara di 127 bandar.
Belanda merekodkan 3,817 acara di 30 bandar, manakala Denmark menyaksikan 3,715 acara di 25 bandar, Sweden 3,451 acara di 23 bandar, dan Belgium 2,483 acara di 23 bandar.Pusat itu juga mendokumentasikan 2,066 acara di Ireland, 1,962 di Austria, 1,764 di Switzerland dan 990 di Greece, bersama ratusan acara tambahan di negara-negara Eropah yang lain.
Penterjemah : Norshuhada Samudin