
Jumaat, 06/11/2026 – Kritikan terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semakin memuncak susulan kegagalannya memperoleh keputusan muktamad dalam pilihan raya terbaharu serta pertikaian yang semakin meruncing berhubung pembentukan kerajaan baharu.
Beberapa pemimpin politik turut menuduh Netanyahu menggunakan ancaman keselamatan dan kemungkinan melancarkan serangan baru terhadap Iran sebagai alasan untuk terus mengekalkan kuasa serta melengahkan proses politik negara itu.
Bekas Perdana Menteri Israel, Ehud Barak, pada Isnin menuduh Netanyahu cuba mengheret Israel ke dalam satu lagi konflik ketenteraan dengan Iran demi mempertahankan kedudukannya dalam kerajaan. Barak turut memberi amaran bahawa sebarang serangan yang tidak berasaskan keperluan risikan yang mendesak boleh membawa kesan buruk, malah berisiko mengukuhkan kedudukan Tehran dan bukannya melemahkan negara itu.
Dalam temu bual bersama stesen radio tempatan, 103 FM, Barak berkata beliau telah berasa bimbang mengenai kemungkinan Israel melancarkan serangan baru terhadap Iran sejak kira-kira sebulan lalu. Menurutnya, meskipun sebelum ini terdapat jaminan bahawa senario berkenaan tidak akan berlaku, beliau tidak menolak sebarang kemungkinan tindakan yang mungkin diambil oleh Netanyahu.
Penterjemah : Farah Najwa